21 Julai 2021, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui bahawa pantun ialah khazanah silam yang amat bernilai, yang melambangkan kebijakan manusia bernama Melayu yang tinggi nilai sasteranya. Pantun juga merupakan salah satu genre asli kesusasteraan yang menjadi wahana bagi pengucapan dalam berbagai-bagai aktiviti yang mengisi ruang lingkup kehidupan masyarakat. Istimewanya pantun dapat merakam cara hidup dan aktiviti kehidupan yang dibayangkan dengan mengeksploitasi unsur alam yang melatari dan melingkungi persekitaran setempat. Hingga hari ini, pantun kekal memiliki nilai dokumentari yang tiada tandingannya.

Itulah antara inti pati penting yang dibicarakan dalam webinar “Pantun sebagai Peradaban Rumpun Melayu Nusantara” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan Youtube Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Melaka. Acara sempena mengisi sambutan pengiktirafan pantun sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 Disember 2020 ini turut ditunjangi oleh Sekretariat Dunia Melayu Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka, selain mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Perutusan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama  Tun Seri Setia (Dr.) Haji  Mohd. Ali Mohd. Rustam, Gubenur Kepulauan Riau,  Haji Ansar Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, Haji Mesran Mohd Yusop, dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Drs. Mohd. Nasruddin Rahman membuka acara webinar, yang kemudiannya disusuli dengan tayangan video pencalonan pantun untuk mendapat pengiktirafan UNESCO. Rakaman video pencalonan pantun itu dihasilkan secara bersama antara Malaysia dengan Indonesia, dan hasilnya pada 17 Disember 2020, pantun mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah kategori warisan tidak ketara (warisan bukan benda).

Webinar ini mengetengahkan tiga tokoh untuk membicarakan pantun dari sudut pandang masing-masing selaku tokoh yang bergulat dengan pembacaan dan kajian tentang pantun. Tiga tokoh tersebut ialah Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan dan Prof. Madya Dato’ Perdana Dr. H. Abdul Malik.

Selaku Pengerusi Biro Sosio Budaya Dunia Melayu Dunia Islam, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff mengulas persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan pantun sebagai warisan peradaban Melayu di rumpun Nusantara? “Pantun ialah warisan seni budaya beraras tinggi dan suatu bentuk intelektual yang hanya ada di rumpun Melayu. Kebijakan orang Melayu dalam pantun terlihat melalui bentuk dan sifat pantun itu yang ringkas, pendek, padat dan tepat, selain terselit kiasan, sindiran, nasihat, ajaran dan pelbagai mesej yang masih relevan hingga hari ini. Itulah sebab mengapa pantun itu bukan sahaja perlu dikekalkan, malah harus diangkat sebagai warisan peradaban bernilai tinggi yang dimiliki oleh bangsa Melayu di rumpun Nusantara,” demikian ulasan yang diberikan oleh Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff.

Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan pula menjelaskan nilai keindahan atau estetika yang terkandung dalam pantun. “Pantun suatu seni yang usianya cukup lama, yang asalnya daripada tradisi lisan. Menarik dan indahnya pantun itu bukan sahaja tergambar pada patah kata yang membentuk rangkapnya tetapi kerana mesej yang disampaikan melalui pantun itu seperti menasihat, mengajar, menegur, menyindir, dan menyatakan kasih sayang. Pendek kata, pantun melalui bahasa dan mesejnya cukup lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan bangsa Melayu,” demikian ujar Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Prof. Madya Dato’ Perdana Dr. H. Abdul Malik pula menjelaskan amalan pantun di Indonesia, khususnya di Kepulauan Riau. Dalam bicaranya, beliau menyarankan penggemar dan pengkaji pantun merujuk buku Pantun-pantun Melayu Kuno dan Hikayat Inderaputra karangan Haji Ibrahim Abdullah. Dua rujukan itu sangat bagus untuk dijadikan panduan bagaimana mengarang pantun kerana penciptaan pantun memerlukan suatu kemahiran yang tinggi. Beliau menambah, orang Barat mengagumi pantun kerana bentuknya yang tidak lazim dalam kesusasteraan mereka, iaitu merujuk baris pembayang dan baris maksud pantun yang dilihat sebagai dua entiti yang berbeza. Prof. Madya Dato’ Perdana Dr. H. Abdul Malik turut menyatakan bagaimana pantun dicipta mengikut perkembangan manusia, iaitu mengikut umur dan peringkat hidupnya. Maknanya, bermula dengan usia bayi hingga dewasa, sudah ada pantun mengiringi tahap kehidupan manusia. Misalnya, pantun mendodoikan bayi hinggalah pantun berumah tangga.

Dalam rumusannya, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff mengharapkan semua pihak turut memainkan peranan dalam memartabatkan pantun sebagai warisan peradaban Melayu di Nusantara. Harapan beliau agar pewaris pantun yang masih ada pada hari ini dihargai dan dihimpunkan dalam satu acara untuk mendokumentasikan pengalaman dan ilmu mereka tentang pantun. Dalam konteks DBP pula, Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan menyatakan penelitian pantun terhasil dengan adanya buku Kurik Kundi Merah Saga yang merakam pantun lisan yang wujud sejak berzaman. Media sosial DBP juga kerap membuat hantaran pantun yang ternyata berjaya menarik pengikutnya turut berpantun dalam ruangan komen.

Yang menariknya, webinar ini dimeriahkan dengan lantunan pantun dan rakaman video lama seperti persembahan bongai bertajuk “Dodoi Anak”, yang kalau tidak disiarkan mungkin tidak diketahui oleh generasi pada hari ini. Dengan menampilkan Ezlina Alias selaku moderator, yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, beliau mengakhiri webinar dengan serangkap pantun:

Mengkuang diinci di tepi surau,

Dianyam selerang bercorak-corak

Hajat di hati hendak ke pulau

Ada perahu berdayung tidak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.