17 Ogos 2021, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu Batu Bersurat Terengganu bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1302 Masihi merupakan antara artifak sejarah yang penting dalam negara kerana batu ini merupakan bukti terawal kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu di Asia Tenggara. Batu Bersurat Terengganu telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 15 Julai 2010 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Tulisan jawi juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009 di bawah akta yang sama. Batu Bersurat Terengganu juga menerima pengiktirafan di bawah kategori Memory of the World International Register oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESSCO) pada 31 Julai 2009. Pengiktirafan tersebut merupakan salah satu usaha bagi memastikan khazanah warisan berbentuk dokumentasi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Dalam usaha untuk melestarikan khazanah bangsa ini, Jabatan Warisan Negara menganjurkan satu webinar Warisan Tidak Ketara 2021 yang bertajuk “Menelusuri Jawi Pada Batu Bersurat Terengganu” secara dalam talian pada 17 Ogos 2021. Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Shukri Mohd Isa bertindak sebagai moderator dalam perbincangan ini bersama dengan dua orang ahli panel, iaitu Pakar dan Tokoh Akademik Bidang sejarah, Prof Emeritus Dr. Ahmat Adam dan Pengarah Warisan dunia, Jabatan Warisan Negara, Mohd Syahrin bin Abdullah.

Pada peringkat pertama perbincangan, ahli panel membincangkan sejarah tulisan jawi. Tulisan jawi tidak sama dengan tulisan arab kerana tulisan jawi hanya digunakan khusus untuk menulis perkataan dalam bahasa Melayu. Batu Bersurat Terengganu menggunakan tulisan jawi purba. Ciri-ciri tulisan jawi purba ialah tidak mementingkan vokal, ejaan yang tidak konsisten dan tiada titik huruf. Batu Bersurat Terengganu adalah sangat penting dalam pengkajian sejarah kerana kebenaran sejarah ditentukan oleh bukti yang sahih.

Menurut cerita lisan orang tempatan, batu itu pada mulanya terbiar begitu sahaja dan diletakkan di hadapan surau sebagai tempat mengesat kaki. Namun, sebaik sahaja imam surau tersebut menyedari batu tersebut mempunyai tulisan jawi, batu itu dialihkan ke kawasan sungai Teresat. Batu itu mula dikaji oleh Major H. S. Patterson pada tahun 1922 apabila dia mencuba membaca tulisan jawi pada batu bersurat tersebut. Batu bersurat ini mempunyai empat muka batu bersurat yang mengandungi undang-undang, peraturan dan hukum syariat Islam.

Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu oleh UNESSCO sangat penting kerana mampu membantu mempromosikan khazanah sejarah secara meluas di peringkat antarabangsa. Khazanah warisan itu juga boleh menjadi produk pelancongan apabila kerajaan negeri Terengganu telah mewujudkan Memorial Batu Bersurat Terengganu yang telah siap dibina pada tahun 1991. Batu Bersurat Terengganu merupakan khazanah warisan bangsa yang perlu dipelihara agar generasi depan juga mampu melihatnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.