20 Ogos 2021, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pada hari ini, 20 Ogos 2021 telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi yang bertajuk Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Art of Statesmanship. Majlis pelancaran yang diadakan secara dalam talian dan boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook Yayasan Wiba Prima ini merupakan anjuran Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana, Yayasan Hasanah, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Galeria Perdana Langkawi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun. Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Ucapan perasmian itu dilaksanakan secara rakaman awal oleh Yayasan Wiba Prima dan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Sejajar dengan peranan PNM yang bertanggungjawab sebagai agensi penyokong industri buku dalam negara demi memartabatkan ilmu dan budaya membaca di Malaysia, penganjuran majlis ini dilihat menjadi satu daripada wadah terbaik untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pemain industri perbukuan negara, di samping sinergi berkesan yang efektif untuk memartabatkan industri penerbitan buku negara.

Selain itu, antara objektif Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Art of Statesmanship termasuklah untuk memberikan pendedahan tentang buku ini kepada masyarakat Malaysia melalui liputan media, mengumpulkan dana untuk tujuan penerbitan dan penyelidikan akan datang serta menyokong pembangunan industri perbukuan negara.

Memetik sinopsis daripada buku dokumentasi tersebut, buku ini berkisar tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan yang paling lama berkhidmat, iaitu bermula dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Pemerhatian dan pembacaan beliau sangat luas sehingga dapat melakukan pelbagai perubahan untuk bangsa Melayu. Beliau mempunyai misi dan visi dalam menentukan hala tuju bangsa beliau sendiri sehingga digelar sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia”.

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah membawa banyak perubahan kepada rakyat dan mengatur program untuk generasi yang membangunkan negara supaya setanding dengan mana-mana bangsa di dunia. Banyak kejayaan besar telah dicapai pada zaman pemerintahan beliau dari segi ekonomi, pendidikan, etika sosial, dan budaya hidup rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu dalam menghadapi era globalisasi dan liberalisasi abad ke-21, sehingga mendapat banyak pengiktirafan daripada pemimpin dunia. Artifak ini disimpan di Galeria Perdana Langkawi, Yayasan Kepimpinan Perdana dan Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur.

Penerbitan buku dokumentasi Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Art of Statesmanship telah melibatkan gerak kerja penyelidikan dan pendokumentasian artifak terpilih di Galeria Perdana Langkawi selama lebih setahun. Kerja-kerja penyelidikan untuk buku ini telah mendapat geran dan tajaan daripada Yayasan Hasanah dan akan dijual pada harga RM300 (termasuk penghantaran dalam Malaysia) hanya melalui Yayasan Wiba Prima. Kutipan jualan buku ini akan disalurkan untuk penerbitan dan penyelidikan Yayasan Wiba Prima pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.