Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Taman tema air di negeri Selangor telah mula beroperasi semula selaras kelonggaran dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tentunya, taman tema air merupakan tarikan pelancongan yang digemari semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia. Permainan gelongsor dan ombak buatan sememangnya tarikan yang sinonim dengan taman tema air. Akan tetapi, setiap taman tema air mempunyai keunikan yang tersendiri. Hanya individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan mengunjungi taman tema air di negeri Selangor. Jom isi masa terluang anda bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu ini dengan mengunjungi taman tema air yang disenaraikan di bawah!
1) Sunway Lagoon
Siapa yang tidak tahu tentang Sunway Lagoon, teman tema air yang terletak di Bandar Sunway, Subang Jaya? Sama seperti taman tema air yang lain, Sunway Lagoon juga dilengkapi dengan tarikan gelongsor pelbagai jenis yang sangat mengujakan. Antara tarikan popular di Sunway Lagoon yang sangat digemari para pengujung ialah Vuvuzela, Little Zimbabwe, Waterplexx 5D, Surf Beach dan banyak lagi! Sempena pembukaan semula pada 7 Oktober 2021, Sunway Lagoon telah memperkenalkan aktiviti berkelah yang dinamakan “Camp Out! at Sunway Lagoon”. Jadi, rasai sendiri pengalaman bermalam di Sunway Lagoon yang pertama kali diperkenalkan ini!
2) Bangi Wonderland Theme Park & Resort
Bangi Wonderland merupakan taman tema air yang dikelilingi oleh hutan rekreasi dengan keluasan 12 ekar. Lokasinya yang terletak di tengah antara Bandar Semenyih dan Bangi sememangnya sesuai bagi anda yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota. Bangi Wonderland menawarkan 14 permainan yang menyeronokkan, antaranya Anaconda Trail, Body Slide, Green Pearl dan banyak lagi!
3) Waterworld @ I-City
Selain daripada cahaya lampu LED dan taman tema salji yang menjadi tarikan popular para pengunjung di i-City, Shah Alam, taman tema air di sini harus juga diberi perhatian kerana Waterworld i-City ini menawarkan aktiviti yang amat menarik dan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung! Jom mencuba satu-satunya Tornado Ride yang terdapat di Asia Tenggara, yang mencabar keberanian anda dan tentunya menyeronokkan!
4) Wet World Water Parks Shah Alam
Wet World Water Parks Shah Alam ini sudah beroperasi sejak 1996 lagi! Ianya menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung, lebih-lebih lagi pada si kecil. Antara tarikan popular yang anda boleh cuba di sini ialah Super Hurricane, Monsoon Buster, Thunder River dan Kiddy Typoon Lagoon. Pilihan aktiviti yang ditawarkan di sini sesuai untuk kanak-kanak, dan kebanyakan kolam di sini berparas cetek. Jadi, anda boleh membawa anak anda ke Wet World Water Parks Shah Alam pada masa cuti nanti!
Taman tema air kerap kali dikunjungi secara berkumpulan atau beramai-ramai kerana kita tahu, “lebih ramai lebih meriah”. Tambahan pula, taman tema air merupakan hiburan yang dapat dinikmati tanpa mengira usia. Menariknya lagi, sesetengah taman tema air turut menyediakan tempat penginapan sekiranya sehari tidak cukup untuk anda menikmati semua aktiviti yang ditawarkan. Debaran permainan gelongsor yang curam dan ketenangan kolam renang memberi penangan yang hebat kepada para pengunjung. Jangan ketinggalan untuk menikmati pengalaman taman tema air yang menakjubkan di negeri Selangor ini!
Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis di negeri Selangor.
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu.