22 Oktober 2021, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah telah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah menganjurkan program Webinar Bahasa Etnik Sabah bersempena dengan Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah ke-68. Program itu diadakan pada 22 Oktober 2021. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan saluran YouTube.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang keunikan kepelbagaian budaya Sabah kepada orang awam. Program tersebut menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Dr. Jeannet Stephen, Ketua Kluster, BorIIS Universiti Malaysia Sabah; Rita Lasimbang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazan Dusun; Aminah Awang Basar; Pengarah DBP Cawangan Sabah dan Datuk Seri Mohd Yusrie Abdullah yang merupakan Setiausaha Tetap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. Dinoza Mahruf bertindak sebagai moderator dalam program itu.  Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, ahli panel menerangkan tentang keunikan Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan di Sabah. Mereka menjelaskan bahawa masyarakat berbilang etnik di Sabah hidup dengan harmoni dan mempunyai tali perpaduan yang erat. Selain itu, Mereka menekankan tentang kepentingan elemen pendidikan yang memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kebudayaan kepada generasi muda. Mereka menambah bahasa merupakan elemen yang penting dalam suatu kebudayaan. Bahasa memainkan peranan penting untuk memelihara kebudayaan kerana bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dan digunakan untuk menjelaskan kebudayaan sesuatu etnik.

Mereka memberikan contoh bahawa bahasa Kadazan Dusun akan pupus dalam jangka masa 30-50 tahun akan datang sekiranya bahasa itu tidak dipraktikkan dalam masyarakat. Antara faktor yang menyebabkan bahasa etnik hilang dalam masyarakat ialah mereka mahu bertutur dalam bahasa arus perdana seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.  Selain itu, mereka mahu masyarakat mewujudkan kebudayaan Malaysia agar semua lapisan masyarakat di negara ini mengetahui dan menghormati kebudayaan masing-masing. Mereka berharap agar masyarakat di Malaysia dapat mengekalkan dan memelihara kebudayaan masing-masing agar generasi akan datang dapat mewarisinya.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.