Oleh Aisyah A.
11 Disember 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan Takziah Malam Sepuluh telah diadakan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM) pada Jumaat, 10 Disember 2021 dan dibawa secara langsung melalui laman YouTube serta Facebook Fakulti Seni Kreatif, UM. Persembahan yang dibawa khas oleh Fakulti Seni Kreatif, UM dengan sokongan Yayasan Hasanah, ArtsFas dan Yayasan TM ini menampilkan pelajar drama serta Pengarah fakulti itu sendiri, iaitu Dr. Rosdeen Suboh selain Taiyuddin Bakar, Zack Kool, Sani Sudin, Asmidar dan Yusmar sebagai pelakon.

Persembahan ini menceritakan tentang kesedihan Nabi Muhammad SAW apabila mendengar perkhabaran kematian cucunya, Saidina Husain yang dinukilkan oleh seorang pencerita yang mendengar daripada riwayat Ummu Salamah. Saidina Husin merupakan putera Saidina Ali dan Saidatina Fatimah dan cucu Nabi Muhammad SAW yang mempunyai akhlak dan fizikal yang hampir sama dengan Baginda.

Umum mengetahui Saidina Husain dan Saidina Hassan ialah kedua-dua cucu yang paling disayangi Nabi Muhammad SAW ketika mereka masih kecil, Nabi Muhammad diberitakan tentang perkhabaran kematian Saidina Husain oleh Malaikat Jibril a.s. yang membuat Baginda serta ahli keluarga dan para sahabat sangat sedih. Berita tersebut menjadi kenyataan beberapa dekad kemudian iaitu pada hari Jumaat 10 Muharram 61 Hijriyyah apabila Husain bin Ali syahid di tangan musuh yang zalim.

Walau bagaimanapun, demi menjaga kesempurnaan dan kesucian Islam, watak-watak tersebut tidak dilakonkan.

Bagi memastikan cerita ini dapat disampaikan dengan baik dan penuh penghayatan kepada penonton, pementasan ini menggunakan gabungan konsep pencerita, teater jalanan serta muzikal pentas dan didasari oleh teori seni persembahan Islam, iaitu mewujudkan keindahan.

Teori ini bertujuan untuk mendapatkan ketenangan supaya proses pendekatan diri kepada Allah dan penghayatan dalam amalan menjadi lebih baik. Elemen Islamik dalam lirik, dialog, tarian, nyanyian dan lakonan termasuk gerak dan aksi bertujuan untuk memberikan moral dan kebaikan kepada ahli produksi dan penonton manakala elemen persembahan seperti penglibatan penonton dalam pementasan turut diterapkan sebagai nilai kreativiti dan artistik persembahan tradisional di Asia Tenggara.

Selain konsep pementasan, konsep Melayu Islam juga memainkan peranan dalam persembahan Takziah Malam Sepuluh. Rekaan pentas persembahan ini diilhamkan daripada “Monumen Alor Star 250 Tahun” yang menerapkan kedua-dua elemen Melayu dan Islam.

Pentas yang berbentuk segi empat diletakkan keris di setiap satu sisi sebagai tunjang utama dan jika dilihat dari atas, kelihatan seperti satu pokok tunjuk langit di tengah-tengah sebuah peti kayu yang melambangkan batu nisan. Ini ialah falsafah mengingati mati yang dizahirkan pada seni bina rumah tradisional Melayu. Pentas ini juga kelihatan seperti reka bentuk geometri iaitu empat bucu dan satu titik pusat di tengah-tengah yang dapat ditafsirkan sebagai Rukun Islam yang dijunjung tinggi.

Bagi menggambarkan budaya Melayu Malaysia pula, kain batik yang menjadi simbol kesatuan digantung pada lapan batang buluh dan diletakkan di setiap sisi dan penjuru segi empat pentas tersebut.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.