31 Disember 2021, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Orang Asal atau lebih dikenali sebagai orang Asli merupakan masyarakat peribumi yang mendiami sesuatu tempat dan tidak terpengaruh dengan masyarakat di tempat tersebut secara umum. Hal ini dikuatkan lagi dengan pernyataan daripada Mohd Mizan Mohammad Aslam dan Shuhairimi Abdullah (2004), iaitu orang Asli mempunyai susur galur hubungan dengan zaman Mesolitik dan Paleolitik. Oleh hal yang demikian, jelaslah di sini bahawa orang Asal dilihat mempunyai ciri-ciri ketulenan yang menjadi warisan dari generasi ke generasi dalam pelbagai aspek seperti bahasa, budaya, adat resam, pantang larang dan sebagainya.

Melihat kepada masyarakat orang Asal di luar negara misalnya Australia, terdapat satu komuniti orang Asal yang dikenali sebagai suku kaum Aborigin yang dikenali oleh orang luar sebagai penduduk Kepulauan Torres Strait. Hingga tahun 2016, sebanyak 798 365 orang Asal di sana yang mewakili 3.3 peratus keseluruhan penduduk Australia.

Lebih menarik lagi, pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan Australia dalam usaha memelihara dan memulihara suku kaum Aborigin ini. Bandar besar seperti Sydney, Melbourne dan Canberra tidak meminggirkan persekitaran semula jadi bagi orang Asal. Misalnya, di Sydney, terdapat sebuah muzium yang dikenali sebagai Australian Museum berperanan dalam menempatkan lebih 40 ribu senjata, alat perhiasan diri, lukisan kulit kayu, peralatan dan permainan suku kaum Aborigin.

Di Malaysia, terdapat pecahan tiga suku kaum orang Asal, iaitu suku Negrito, Senoi dan Melayu-Proto yang berjumlah 178 179 orang seperti yang telah dicatatkan hingga tahun 2018. Daripada jumlah tersebut, terdapat 18 suku kaum yang masih kekal di Semenanjung Malaysia.

Pecahan tersebut memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian bahasa dan budaya masyarakat peribumi yang harus dipelihara sebelum ditelan arus pemodenan. Kebimbangan tersebut dapat dilihat terhadap suku kaum Bateq yang terdedah dengan ancaman kepupusan disebabkan faktor penyakit demam campak yang merebak pada tahun 2020 dan memaksa mereka berpindah semula ke hutan.

Perpindahan tersebut menyebabkan kesukaran mereka untuk menerima rawatan daripada pihak kesihatan sekali gus meningkatkan kadar kematian yang boleh membawa kepada kepupusan suku kaum tersebut. Menariknya, suku kaum Bateq terkenal dengan kepakaran ilmu hutan seperti membezakan jenis pokok untuk dijadikan atap dan dinding pondok, menggunakan sumpit untuk berburu, dan mereka juga arif tentang herba-herba hutan.

Rentetan kepakaran yang dimiliki oleh penduduk suku kaum Bateq, jika suku kaum tersebut mengalami kepupusan adalah menjadi satu kerugian kepada Malaysia kerana kehilangan sesuatu yang besar dalam warisan dan cara hidup yang asli bagi kaum peribumi.

Maka itu, dalam usaha memelihara warisan penduduk tersebut, langkah seperti pendokumentasian dan pembukuan perlu giat dijalankan terutamanya oleh ahli akademik. Hal ini diperkuatkan dengan pernyataan oleh Noraien Mansor dan Noor Rohana Mansor (2015), iaitu penerbitan  ilmiah  khususnya  melalui  karya buku, artikel dalam jurnal dan prosiding menjadi pentas  utama  bagi  ahli  akademik  di  institusi pengajian tinggi negara mendesiminasikan hasil-hasil  penyelidikan  dan  inovasi  terkini  kepada masyarakat. Justeru itu, tindakan tersebut mampu merancakkan penyebaran maklumat tentang orang asal kepada masyarakat umum dengan penghasilan kajian yang lebih terperinci dan bermaklumat.

Kajian berbentuk jurnal mengenai suku kaum Semai pernah dijalankan oleh Riduan Makhtar et. al (2018) yang melihat sikap dan persepsi masyarakat terhadap bahasa Semai dan dikembangkan lagi pada tahun berikutnya oleh Siti Aisah Zailani, Riduan Makhtar dan Mohd Sharifudin Yusop dengan kajian mereka yang melihat pemilihan bahasa dalam masyarakat Semai.

Seterusnya, kajian mengenai suku kaum Jahut dijalankan oleh Nur Faaizah Md Adam, Mohd Sharifudin Yusop dan Riduan Makhtar (2018) yang meneliti aspek fonologi dan leksikal serta kajian mengenai hubungan linguistik antara bahasa Kentaq dengan bahasa Melayu yang dilakukan oleh Noor Saadah Salleh (2017).

Selain itu, kajian mengenai kata ganti nama dalam suku kaum Mendriq turut dijalankan oleh Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Mohd Romzi Ramli (2015) juga dilihat sangat signifikan dalam mengangkat warisan dan kesenian orang Asal dalam bentuk ilmiah.

Selain jurnal, buku mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mengangkat sesuatu ilmu ke tahap yang lebih tinggi. Hal ini bertepatan dengan kenyataan oleh Zahazan Mohamed (2015), buku adalah untuk menyediakan bahan bacaan yang membangunkan modal insan dan seterusnya dapat membina intelektual dan spiritual masyarakat secara holistik. Maka itu, dapat dilihat pembangunan industri buku sebagai alat yang menjadi wadah ilmu pengetahuan dalam sesebuah masyarakat.

Buku dapat didefinisikan sebagai lembaran kertas yang mempunyai jilid serta mengandungi pelbagai genre penulisan dan memiliki kumpulan sasaran pembacanya yang tersendiri. Sesebuah buku memiliki daya penarik berdasarkan kemampuan untuk menggugah keinginan pembaca serta melahirkan pembaharuan yang lebih jitu dan lengkap.

Menyingkap sejarah dahulu, para penjajah menghasilkan buku yang mengandungi kosa kata bahasa Melayu bagi mengembangkan perdagangan dan agama di samping mendekati penduduk tempatan. Di sini dapat dilihat bahawa buku memainkan peranan yang penting dalam merekodkan sesuatu ilmu seperti bahasa dan budaya agar menjadi bukti bertulis dalam peradaban sesuatu bangsa.

Bertitik tolak daripada peri pentingnya sesebuah buku kepada warisan adat dan budaya sesuatu kaum, maka bahasa dan budaya orang asal ini begitu penting untuk  dibukukan supaya warisan tinggalan mereka yang berharga dapat dijaga dan dikekalkan.

Misalnya menerusi bahasa suku kaum Jakun di Lenga, Muar, Johor yang memperlihatkan perbezaan dengan bahasa Melayu standard dari segi ejaan dan sebutan. Kata panggilan dalam keluarga, iaitu bapa disebut sebagai “embai” manakala “ninik” merujuk nenek. Contoh lain dapat dilihat seperti jadual berikut.

Bahasa Melayu Standard Bahasa Suku Jakun, Lenga Fonetik
anjing koyok [kɔjɔ?]
bapa embai [əmbai]
burung berba [bərba]
jatuh cetok [cetɔ?]
ketuk titik [titiʔ]
labah-labah tuowo [tuwɔwo]
makan mengesip/makan [mǝŋǝsep] . [makan]
malam semput/malam [sǝmput] . [malam]
merah celek [celeʔ]
minum jooh [ǰɔʔɔh]
potong tekong [tǝkoŋ]
rumah betbot [bǝtbot]
sembunyi berkedum/menyoghok [bǝrkǝdum] . [mǝɲoɣoʔ]
tanam kocol [kɔčol]
tangan kokot [kokot]
telinga gedabak [gǝdabaʔ]

Contoh tersebut jelas memaparkan keunikan bahasa yang dituturkan oleh suku kaum orang Asal dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana kelainan kosa kata orang Asal ini melambangkan kekayaan warisan yang dibawa oleh mereka dari satu zaman ke zaman yang lain. Tambahan pula, bahasa merupakan cerminan kepada budaya sesuatu kaum yang perlu diangkat melalui pembukuan. Usaha membukukan data mentah masyarakat peribumi ini perlu rancak dijalankan agar tidak lenyap dek asimilasi dengan masyarakat luar dan rempuhan globalisasi.

Tidak dinafikan, terdapat banyak buku mengenai orang Asal pernah diterbitkan sebelum ini. Antara buku tersebut ialah hasil penulisan Dolah Tekoi (2020) yang berjudul Adat dan Pantang Larang Orang Asli Semenanjung Malaysia: Suku Urang Huluk (Jakun) Johor, Pembangunan Kontemporari Orang Asli oleh Sarjit S.G. Gill dan Mohd. Roslan Rosnon (2019) serta Semiotik Sosial Masyarakat Seletar oleh Samsur Rijal Yahaya (2019). Bukan itu sahaja, buku bertajuk Orang Asli: Pembangunan dan Transformasi karya Ramle Abdullah juga telah diterbitkan pada tahun 2014, manakala pada tahun sebelumnya, Mohd Sharifudin Yusop menulis buku mengenai keterancaman bahasa orang Asli suku Duano dan Kanaq.

Justeru itu, pendokumentasian data mentah dalam bentuk buku memainkan peranan yang besar dalam memastikan kelestarian sesuatu warisan bagi semua peringkat masyarakat tidak kira murid di sekolah, para pelajar di institusi pendidikan, tenaga pengajar dan para penyelidik khususnya dalam bidang akademik.

Jika diteliti secara lebih mendalam, buku memiliki fungsinya yang besar kepada para pembaca kerana maklumat yang terkandung dalam buku adalah bersifat sahih, lengkap dan sistematik serta mempunyai tahap keterbacaan yang tinggi. Kenyataan ini turut diketengahkan oleh Sa’dun Akbar (2013) yang meletakkan kriteria-kriteria dalam sesebuah buku ilmiah agar lebih berkualiti dan dipercayai. Perkara ini dapat dijayakan melalui gerakan ilmiah antara pentadbir tempatan dan institusi pengajian dalam merangka tindakan ke arah pendokumentasian data mentah.

Buku-buku yang dihasilkan juga boleh dipelbagaikan bentuk format penulisan agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Usaha-usaha proaktif ini dilihat dapat memastikan khazanah orang Asal terus dipelihara daripada mengalami kepupusan dan menjadi rujukan bertulis serta bahan bukti kepada pengkaji akan datang sama ada di dalam mahupun luar negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!