12 Januari 2022, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Sebuah projek kolaborasi antara lima produksi teater indie, iaitu Asterik Anak Seni (Asterik Anak Seni), CTR Project (theCTRproject), Parallact Art (Parallact Art), Rumah Lakon (Rumah Lakon) dan Anomalist Production (Anomalist Production) akan menemui khalayak awam pada hujung minggu ini. Penghebahan sebuah teater interaktif dengan julukan “So You Got Script?”, mula dikeluarkan dan dihebahkan di sosial media dan halaman internet milik lima produksi ini, sejak minggu lepas.

Kolaborasi ini diusahakan untuk mengumpul dana sumbangan bagi membantu mereka daripada kalangan penggiat artis dan kesenian yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Setakat 11 Januari 2022, sejumlah video cuitan (teaser) telah dikeluarkan oleh pihak produksi, yang menggambarkan para dramatis teater tempatan, iaitu Alif Adzham, Qie Rahman, Surnia Fizul, Sara Sulaiman dan Jimi Hud membaca skrip-skrip drama dengan pelbagai adegan tersendiri.

Teater interaktif arahan bersama Aliff Adzham, Erry, Din Mawar, Bob Ammirul, Jimi Hud dan Akmal Sulaiman ini bakal menemui khalayak awam bermula pada 13 Januari hingga 15 Januari 2022 dengan empat jumlah pementasan. Teater ini akan dipentaskan di Studio Asterik Anak Seni, Petaling Jaya.

Wakil daripada Asterik Anak Seni juga sempat berkongsi bersama sidang editor Dewan Budaya berkenaan pementasan teater interaktif mereka itu yang merupakan sebuah teater berskrip dan susunan baharu.

“Perjalanan satu pementasan itu, bermula dengan sebuah naskhah,” Ahmad Huzaifah, menceritakan serba dua perihal pementasan unik mereka untuk minggu ini. Menurutnya, unsur naskhah itu sendiri akan bermain peranan penting dalam teater “So You Got Script?”

“Kita mahu laksanakan sebuah teater interaktif, berkait dengan perjalanan pembacaan skrip.” Tambah beliau lagi, beberapa skrip drama sebenar akan dijadikan pendorong plot bagi teater interaktif itu.

Karya-karya pilihan daripada Alif Adzham, pengasas bersama Asterik Anak Seni; dan Azwan Azhari, akan menemui penonton “So You Got Script?” dengan cara yang tersendiri.

Bagaimana rupanya teater ini menemui penonton? Pihak produksi dengan penuh teruja mengajak khalayak untuk sertai pementasan berkenaan dan ambil pengalaman.

Menurut Ahmad, sebagai projek amal, produksi itu menuntut sebuah projek teater yang memerlukannya untuk memihak pada mereka dari segi keterbatasan daya, masa, kerja dan kos yang terhad. Hal ini dikatakan demikian kerana sasaran utama rumah-rumah produksi indie ini adalah untuk meringankan beban dan bencana yang telah menimpa rakan-rakan penggiat kesenian indie yang terlibat musibah banjir di sebahagian negara Malaysia, baru-baru ini.

Bagi artis-artis penggiat seni yang turut terlibat sama dalam musibah banjir berkenaan, walaupun jika kawasan yang sudah surut airnya, kos-kos pascabanjir masih diperlukan untuk mereka membina semula daripada awal, mahupun kosong.

“Keseluruhan sumbangan yang kami terima hasil daripada projek ini (penempahan slot dan sumbangan langsung), 100 peratus akan disalurkan untuk bantuan mangsa banjir dalam kalangan penggiat seni teater indie,” ujar Asterik Anak Seni.

Oleh sebab itu, projek teater interaktif ini menjadi pilihan. Mereka juga yakin dengan khalayak awam khususnya yang ingin menjelajah dengan lebih dalam tentang selok-belok dunia seni teater, akan menghargai pementasan ini.

Sumbangan minimum untuk tempahan slot pementasan boleh dibuat bermula pada RM10. Namun demikian, pihak Asterik Anak Seni mengalu-alukan khalayak awam dan marhaen yang ingin turut menghulur sumbangan. Maklumat lanjut untuk menempah slot atau menyalurkan sumbangan boleh dirujuk di sini atau di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.