1 Februari 2022, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Warna merah sinonim dengan sifat berani, megah dan semangat yang membara. Warna merah bersifat terang, menyala-nyala dan mudah dilihat dari jauh walaupun dalam suasana yang terang. Penggunaan warna merah begitu meluas dan mempunyai konotasi berbeza. Merah juga turut mendapat tempat dalam kalangan penulis lirik lagu terutamanya lagu patriotik yang berbunyi “merah membara semangat waja”. Pada masa yang sama, warna merah pasti sinonim dengan masyarakat Cina di Malaysia. Apabila gegantung berwarna merah digantung di sana sini, tanglung berwarna merah dihias di pintu masuk gedung beli-belah dan boneka harimau dihias di ruang legar, sudah pasti menyajikan alamat kepada masyarakat bahawa Tahun Baharu Cina semakin mengunjung tiba.

Warna merah memainkan peranan yang besar dalam kepelbagaian perayaan masyarakat Cina terutamanya ketika perayaan Tahun Baharu Cina.

Warna merah ibarat warna wajib bagi masyarakat Cina di Malaysia. Setiap etnik Cina di Malaysia pasti akan memeriahkan Tahun Baharu Cina dengan warna merah. Namun begitu, apakah simbolik merah dalam kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina? Warna merah ialah lambang tuah bagi masyarakat Cina. Oleh itu, penggunaan warna merah dari segi hiasan rumah dan pakaian dalam kalangan masyarakat pasti menjadi keutamaan untuk menjemput tuah dalam kehidupan.

Namun begitu, warna merah bukan sahaja popular semasa sambutan Tahun Baharu Cina tetapi warna merah turut menjadi warna tema utama apabila majlis kebudayaan orang Cina seperti perkahwinan dan upacara hari lahir. Hiasan kaligrafi yang dilakar pada kertas berwarna merah juga turut ditampal pada dinding rumah malah turut ditampal pada pintu. Selain memeriahkan suasana, hiasan berwarna merah tersebut mempunyai simboliknya yang tersendiri. Menurut cerita hikayat yang diwariskan oleh warga emas dari generasi ke generasi, hiasan berwarna merah di pintu rumah seolah-olah memberikan kuasa sakti bagi menakut-nakutkan raksasa ganas bernama Nian. Pada masa yang sama, hiasan tersebut dikatakan dapat menghalau raksasa tersebut daripada memusnahkan keharmonian isi rumah. Oleh itu, tidak hairanlah masyarakat Cina begitu tekal dengan penggunaan warna merah yang melambangkan keceriaan dan kemeriahan suasana.

Dalam pada itu, mercun papan yang dibakar semasa sambutan Tahun Baharu Cina turut berwarna merah. Sudah pasti perkara ini adalah untuk mengalu-alukan kehadiran tahun baharu dan bunyi-bunyian mercun yang bingit dan berdentum-dentam dilihat sebagai satu simbolik untuk menghalau nasib malang dalam sesebuah keluarga.

Masyarakat Cina sangat mengalu-alukan kehadiran tahun baharu yang dilihat sebagai masa yang sangat berharga. Hal ini dikatakan demikian kerana Tahun Baharu Cina melambangkan langkah awal dalam menempuhi kehidupan yang baharu. Masyarakat Cina yakin bahawa setiap tahun baharu pasti akan membawa kebahagiaan malah kekayaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah kebanyakan peniaga pasti akan bercuti panjang semasa sambutan Tahun Baharu Cina. Sudah pasti Tahun Baharu Cina sentiasa ditunggu-tunggu dan kanak-kanak turut menghitung detik kehadiran Tahun Baharu Cina dek sampul angpau yang juga berwarna merah.

Pada waktu malam menjelang Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina pasti akan berkumpul di rumah ibu bapa masing-masing untuk majlis makan besar. Adik-beradik yang berjauhan pasti akan pulang ke desa halaman untuk melengkapi upacara jamuan besar ini ibarat peribahasa, “setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap ke belakang kerbau jua”. Kepulangan anak-anak atau sanak-saudara yang berkumpul beramai-ramai melambangkan kemeriahan dan kemegahan sesebuah keluarga.

Namun begitu, sambutan sejak pandemik ini agak berbeza dengan kehadiran COVID-19 yang membimbangkan. Pada tahun ini, setiap ahli keluarga yang berkumpul sudah tentu akan melakukan ujian kendiri COVID-19 supaya masing-masing selamat. Ujian kendiri ini amat penting bagi mengelakkan daripada pembawaan COVID-19 yang masih bermaharajalela di seluruh dunia.

Dalam kemeriahan menikmati hidangan, generasi muda pasti dapat meneka bahawa juadah semasa makan besar pasti pelbagai. Hidangan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran, udang, itik dan abalone pasti menjadi rencah utama. Hidangan besar seperti ini sudah tentu istimewa dan tidak selalu dihidangkan pada hari-hari biasa. Masyarakat Cina sangat mensyukuri kehadiran Tahun Baharu Cina. Oleh sebab itu, hidangan yang pelbagai ini mengandungi simboliknya yang tersendiri.

Sebagai contohnya, hidangan ayam merupakan simbolik kepada kelancaran dalam apa-apa jua bidang yang diceburi terutamanya perniagaan dan pelajaran. Selain itu, hidangan ikan turut melambangkan harapan agar sesebuah keluarga mendapat laba yang banyak daripada kerjaya atau perniagaan yang dilaksanakan. Hidangan udang pula menunjukkan lambang kegembiraan manakala hidangan sayur-sayuran sudah pasti melambangkan kesihatan yang berkekalan kerana kesihatan turut melambangkan simbol kebahagiaan dalam kehidupan. Jamuan besar bukan berkehendakkan kenyang semata-mata tetapi jamuan pengikat kasih, menjemput tuah dan berkongsi rezeki.

Tidak lengkap Tahun Baharu Cina tanpa jamuan makan besar bersama-sama ahli keluarga.

Hidangan jamuan besar pasti akan lebih enak dan bermakna jika dimasak bersama-sama ahli keluarga. Pepatah bagai aur dengan tebing sangat signifikan dalam semangat kekeluargaan masyarakat Cina. Hidangan tradisi yang enak dimasak secara bergotong-royong. Kaum ibulah yang menjadi tonggak utama bagi merancang juadah, menyusun resipi turun-temurun yang dihafal, menyediakan rencah, rempah-ratus utama dan menterjemahkan resipi itu menjadi hidangan enak di kuali panas.

Namun begitu, keenakan hidangan Tahun Baharu Cina akan lebih terasa apabila dimasak bersama ahli keluarga yang lain. Lazimnya, persediaan dimulakan pada awal pagi. Perapan ayam dan sup perlu disediakan lebih awal malah memakan masa agar rasa rempah-ratus mesra betul dalam hidangan laksana hubungan erat antara saudara. Dalam kesibukan menyediakan juadah ini, sudah pasti kaum ibu akan menurunkan resipi ini kepada anak agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Tiada catatan perlu dibuat kerana kelembutan tutur kata menyampaikan resipi tradisi pasti akan dapat dipahat pada minda generasi muda. Bagi kaum Adam, sudah tentu mereka juga bersama-sama bergotong-royong membersihkan dan menghias rumah ibarat mengalu-alukan dengan penuh kegembiraan ketibaan tahun baharu. Pada masa yang sama, membuang “sui” atau malang dan sial yang melingkari sesebuah keluarga. Bukan itu sahaja, mengemas rumah perlu disegerakan lebih awal kerana pada hari pertama Tahun Baharu Cina, dilarang keras untuk membersihkan rumah atau menyapu lantai.

Apabila menjelangnya hari pertama Tahun Baharu Cina, warna merah semakin mendominasi suasana bukan sahaja pakaian baharu malah sampul wang wajib berwarna merah yang bermaksud tuah. Sampul wang berwarna merah dikenali oleh seluruh masyarakat Malaysia sebagai angpau. Lazimnya angpau akan diberikan kepada anak-anak saudara yang masih kecil atau belum berkahwin. Selain anak-anak yang masih kecil, warga emas juga turut menerima angpau. Selain merah yang melambangkan tuah, tanpa disedari bahawa merah juga melambangkan kasih sayang yang utuh dalam ahli keluarga.

Pemberian angpau sebagai tanda ingatan dan kasih seseorang ahli keluarga terhadap saudaranya atau ibu bapanya. Besar atau kecil jumlah angpau adalah rahsia dan dianggap biadab jika wang angpau dikira di hadapan pemberinya. Perkara yang paling utama ialah nilai kasih sayang yang dialirkan melalui sampul tuah berwarna merah.

Amalan kunjung-mengunjungi atau ziarah-menziarahi sudah boleh mula diamalkan pada tahun harimau ini. Namun demikian, dalam menduga kebiasaan baharu dan norma baharu pandemik COVID-19 ini, ujian kendiri COVID-19 patut diamalkan oleh setiap individu sama ada sanak-saudara mahupun rakan karib sebelum bertandang ke rumah orang lain. Amalan ini merupakan satu tanggungjawab dan etika kendiri bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masing-masing. Secara tuntasnya, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini tidak banyak berbeza dari segi tradisi dan adat, cuma sedikit sebanyak diselaputi dengan Prosedur Pengendalian Standard atau SOP yang menjamin kita semua.

Walaupun berdepan dengan suasana pandemik yang semakin berubah ke arah endemik, Tahun Baharu Cina tetap merah menyala ibarat semangat masyarakat Cina yang turut sama-sama berani melawan jangkitan COVID-19 malah turut memeriahkan suasana menyambut tuah dalam suasana norma baharu. Kita berkumpul dan menyambut Tahun Baharu Cina dengan amalan kita menjaga kita.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.