Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSubang Jaya – Lambakan rancangan hiburan, termasuk rancangan realiti televisyen bercorak hiburan di negara kita bukan perkara yang baik. Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada hari ini, perkembangan tersebut membimbangkan dan wajar dibendung.
Kecanggihan TMK pula mencetuskan satu gejala tidak sihat, iaitu fitnah menerusi media sosial. Memang malang jika tiada usaha walaupun kecil untuk membendungnya. Fitnah menerusi media sosial yang merupakan satu penyalahgunaan TMK memang menarik walaupun jelik kerana hal yang demikian semakin menguasai kehidupan rakyat Malaysia masa kini.
Namun demikian, kita boleh bersyukur kerana masih ada pihak yang menyedari, lantas terdorong untuk berusaha menangani penyalahgunaan media sosial ini. Antaranya ialah pelakon dan pelawak terkenal, Tauke Jambu atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria.
Menerusi syarikat produksi, Rentak Sehati Sdn. Bhd., Tauke, 46 tahun, yang juga Pengarah Urusan syarikat tersebut mendapat ilham untuk menerbitkan sebuah rancangan realiti yang diberikan nama Jari Neraka.
Menurut Pengurus Produksi Rentak Sehati Sdn. Bhd., Ahmad Qusairy Faudzi, penerbitan Jari Neraka bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai penyalahgunaan media social. Akan tetapi, pada peringkat permulaan ini, Jari Neraka belum atau kurang meluas kerana penyiarannya menerusi saluran YouTube sahaja. Diharapkan sebagaimana yang dibayangkan oleh Ahmad Qusairy, penyiaran Jari Neraka akan lebih meluas, termasuk di televisyen untuk musim keduanya nanti.
Qusairy menyatakan sedemikian dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis pelancaran Jari Neraka pada 21 Februari 2022 lalu di Reevo Merchant Lounge, Skypark@One City. Pelancaran Jari Neraka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Zahidi mengakui penyalahgunaan media sosial wajar dibendung.
“Gejala ini tidak boleh dibiarkan kerana amat berbahaya. Keadaan yang baik akan bertukar buruk akibat fitnah tidak kira kepada siapa-siapa sama ada perseorangan, kumpulan, masyarakat, bangsa dan negara,” tegas Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar.
Selain Datuk Zahidi, Tauke Jambu dan Qusairy, majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi; pelakon sensasi, Iqram Dinzly yang turut menjadi tetamu undangan Jari Neraka, dan aktivis masyarakat (mantan pelakon), Lando Zawawi.
Antara lain, majlis pelancaran Jari Neraka juga diisi oleh gimik pelancaran dan runut bunyi Jari Neraka, tayangan eksklusif Jari Neraka, sumbangan kepada Presiden Seniman dan pemberian cenderahati kepada tetamu jemputan khas.