Oleh Avatar photo Syaza Wardina
24 Mac 2022, 20:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Iris Integrated Sdn. Bhd. pada hari ini menganjurkan Wacana Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat, bertempat di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, bersempena dengan pengumuman keputusan Anugerah Telenovela kali ke-8. Penganjuran wacana ini turut menampilkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai rakan strategik.

Wacana ini membariskan Mantan Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling dan Pensyarah Universiti Malaysia Pahang, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain sebagai pembicara, dan Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz yang menyampaikan ucapan penggulungan khas.

YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar mempengerusikan Wacana Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Wacana Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, wacana ini merupakan satu daripada usaha untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya.

“Wacana ini membicarakan mengenai konsep memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang berdaulat serta dasar yang berkaitan dengannya mengikut undang-undang dan perlembagaan, pada masa yang sama tetap berteraskan prinsip agama Islam dijunjung, manakala adat dan warisan Melayu dikendong atau disanjung,” tambah beliau.

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling menjelaskan konsep kedaulatan institusi diraja negara ini.

Melalui ruangan bicara dalam wacana ini, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal berkata, “Menerusi pelaksanaan wacana ini, terdapat dua perkara yang menarik perhatian saya, iaitu memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu yang Berdaulat. Sejak kurun ketujuh lagi, sudah wujud tinggalan sejarah yang menyaksikan Raja Melayu bertindak sebagai pemerintah. Apabila kita hendak mencapai kemerdekaan, iaitu pada tahun 1956, institusi ini juga diangkat sebagai pemerintah. Menjadi impian kita untuk mempertahankan institusi yang telah wujud sejak zaman-berzaman ini.”

Untuk memastikan kelangsungan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, beberapa aspek penting perlu diberikan penekanan. Antaranya adalah menerusi peranan pendidikan, pentadbiran, serta penglibatan daripada lapisan dan institusi masyarakat itu sendiri.

Dalam wacana tersebut juga, YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi membentangkan kertas dasar “Memartabatkan Institusi Raja-Raja yang Berdaulat Mengikut Perspektif Undang-undang dan Perlembagaan”.

Pensyarah Universiti Malaysia Pahang, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain sebagai pembicara kedua dalam Wacana Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat.

Institusi Raja merujuk Yang di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja Melayu yang memerintah negeri di Malaysia. Di peringkat Persekutuan Malaysia, Institusi Raja ialah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Menurut beliau, kertas tersebut bertujuan untuk mengemukakan peranan Institusi Raja sebagai badan utama negara yang bertanggungjawab untuk memelihara secara patuh syariah sebagai prinsip kedaulatan Malaysia dan elemen watan sebagai struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Institusi diraja perlu dilihat melalui kerangka watannya bermetodologi jurisprudens undang-undang. Berlandaskan kerangka yang betul, usaha untuk memartabatkan Institusi Raja dapat mencapai objektif yang diharapkan.

YBhg. Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz yang menyampaikan penggulungan khas pada akhir wacana ini.

Dalam sesi penggulungan wacana ini, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shamrahayu menyimpulkan bahawa usaha untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja yang berdaulat perlu dilaksanakan dari dalam dan luar istana. Beliau menyifatkan bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai peranan tersendiri untuk memartabatkan institusi ini, manakala rakyat juga mempunyai peranan untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong pandangan daripada peserta wacana ini mengenai cadangan resolusi yang boleh diketengahkan untuk memartabatkan Institusi Raja di negara ini. Antaranya adalah melalui pemerkasaan sistem pendidikan, hubungan yang baik antara raja dengan rakyat, pengukuhan peranan Muzium Diraja, mencontohi institusi diraja negara luar dan sebagainya.

Majlis yang diadakan secara tertutup tersebut dihadiri oleh kira-kira 30 orang peserta yang terdiri daripada pihak daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan serta cendekiawan dan sarjana dari pelbagai institusi pendidikan.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran turut penyampaikan pandangan beliau berkenaan dengan pemartabatan institusi diraja yang berdaulat sebelum sesi ucapan penggulungan wacana ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; Pengarah Penerbitan DBP, YBhg. Tuan Haji Razali Che Mat; dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.