Oleh Mubarak Ismail
8 September 2022, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Majlis Kenduri Budaya II anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersempena dengan kunjungan para pelajar Jepun dari Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Jepun berlangsung pada 8 September 2022 (Khamis) dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu, UKM.

Majlis Kenduri Budaya II adalah antara usaha pemartabatan dan pelestarian warisan bangsa Melayu merangkumi bahasa dan kebudayaan Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa. Majlis ini dirasmikan oleh Pengarah ATMA, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, program ini merupakan rangka lawatan muhibah dan program penyerapan seni budaya Melayu yang telah dilaksanakan sejak tahun 2015 antara Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Jepun dengan ATMA.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan kata alu-aluan.

“Saban tahun mereka datang untuk menghayati dan mendalami bahasa Melayu dan unsur-unsur kebudayaan Melayu sebagai bahagian penting dalam pengajian mereka di universiti. Kehadiran mereka menjadi lambang bahawa bahasa Melayu dan budaya Melayu diterima dengan baik pada peringkat antarabangsa. Di Jepun, Universiti Pengajian Asing Tokyo merupakan universiti yang paling unggul dalam pengajian bahasa Melayu dan terdapat sejumlah universiti lain yang mengajar bahasa Melayu dalam bentuk kursus-kursus elektif,” ujar Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut berkata, di negara China sekarang terdapat 13 buah universiti yang menawarkan program ijazah bahasa Melayu dengan tempoh selama empat tahun, selain kursus elektif dan kursus yang khusus untuk bidang kewangan dan perniagaan kerana hubungan kebudayaan yang rapat antara Malaysia dengan China di samping negara China yang merupakan rakan dagangan terbesar bagi eksport komoditi dari Malaysia. Semua pelajar yang mengambil jurusan ijazah bahasa Melayu diberikan nama Melayu. Oleh itu, perkara ini secara tidak langsung memberikan kesan dari segi psikologi serta penyerapan adab, budi bahasa dan kebudayaan Melayu kepada para pelajar tersebut.

Tambah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi, berdasarkan data daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terdapat lebih kurang 100 buah institusi yang memberikan perhatian kepada sastera Melayu, kebudayaan Melayu, bahasa Melayu, sejarah Melayu dan semua aspek berkaitan dengan tamadun Melayu di seluruh dunia.

Persembahan tarian tradisional oleh para penari Pusat Kebudayaan Universiti, UKM.

“ATMA merupakan institut kecemerlangan universiti yang diwujudkan khusus untuk mendalami kajian dan pengajaran termasuklah kursus intensif kemahiran bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu yang disertai oleh pelajar antarabangsa. ATMA dalam perancangan untuk membuka gelanggang seni silat, gelanggang seni pedang Sukma Kencana dan lapangan sasar memanah di kawasan Istana Puteri Bongsu, UKM. Saya juga berharap agar hubungan kebudayaan antara Jepun dengan Malaysia dapat ditingkatkan dan anak-anak samurai dapat mempelajari, menghayati dan mendalami budaya Melayu dengan lebih erat pada masa depan,” kongsi Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Antara aktiviti yang turut dipersembahkan dalam majlis ini ialah persembahan tarian tradisional, demonstrasi seni budaya Melayu yang merangkumi busana Melayu, senjata Melayu dan tradisi lisan Melayu oleh Dato’ Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin serta demonstrasi pembuatan wau oleh WCO Holdings.

Turut hadir ialah Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad, Timbalan Pengarah ATMA, Puan Faridah Mohamad, Pensyarah pengiring pelajar Jepun, Universiti Pengajian Asing Tokyo dan Encik Mohamed Asrof Semin, Pemangku Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.