Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program bicara Tanah Air – The Malay Maritime Civilization Project anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) yang bermula pada bulan Ogos 2021 hingga bulan Disember tahun ini menampilkan para sejarawan dari Malaysia dan negara jiran. Program bicara ini diadakan bertujuan untuk menyingkap sejarah peradaban maritim Tanah Melayu.
Siri syarahan ke-10 program bicara ini diadakan pada 24 Ogos 2022 secara langsung melalui platform Youtube ISTAC TV dan disampaikan oleh Dr. Ahmad Jelani Halimi, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Perak dengan tajuk Perkembangan Perahu-perahu Melayu Sejak Zaman Bahari. Beliau telah menulis 10 buah buku serta pernah menerbitkan 50 artikel yang berkaitan dengan undang-undang laut Melayu dan sejarah Islam.
Dr. Ahmad Jelani memulakan syarahan tersebut dengan penerangan berkaitan asal-usul kawasan Tanah Melayu sekitar 25 000 tahun dahulu sewaktu bangsa Melayu masih belum wujud lagi. Setelah kawasan Sunda tenggelam pada 3000 hingga 4000 tahun yang lalu, maka bermulalah migrasi manusia termasuklah etnik Melayu yang memilih untuk tinggal di sekitar kawasan persisiran pantai.
Bangsa Melayu sangat sinonim dengan perahu kerana mereka tinggal di dalamnya dan menjadikannya sebagai rumah. Justeru, terdapat satu bidalan yang menggambarkan keadaan tersebut, iaitu “Melayu adalah mereka yang tidak akan berjalan kaki selagi perahu mereka boleh sampai, tidak akan berumah di tanah kering selagi ada tanah berpaya.” Dr. Ahmad Jelani memberi perumpamaan tentang pemilikan perahu oleh bangsa Melayu ketika itu adalah seperti motor kapcai pada zaman kini dengan hampir setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu motor kapcai.
Bangsa Melayu juga tidak kenal tentang pertanian sehingga bangsa asing sampai ke alam Melayu. Bangsa Melayu menetap di kawasan air, iaitu di laut, kuala, tasik dan paya sehingga wujud satu istilah ‘tanah air’, iaitu sesuatu wilayah yang merangkumi tanah dan air. Laut dan selat bagi bangsa Melayu yang memiliki perahu tidak dilihat sebagai sempadan, malah menjadi jalan penghubung untuk orang Melayu merantau pada ketika itu.
Bagi meluaskan dan mempercepatkan perkembangan tamadun dunia, orang-orang Barat dan Timur pada ketika itu mencipta peralatan pengangkutan untuk berhubung dari satu tempat ke tempat yang lain seperti roda dan menggunakan bantuan haiwan seperti gajah dan lembu untuk mengangkut barang. Namun begitu, ciptaan tersebut tidak praktikal dengan keadaan tanah dan hutan tebal yang didiami bangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, mereka lebih fokus memikirkan kaedah untuk menghadapi gelombang dan badai serta memikirkan sesuatu yang boleh mengapungkan mereka di atas air. Hasilnya, pada peringkat awal, terciptalah rakit yang berfungsi sebagai peralatan dan kenderaan asas untuk mereka bergerak dan mengapung di atas air bagi jarak dan masa yang singkat.
Menurut Dr. Ahmad Jelani, ciptaan tersebut kemudiannya berevolusi menjadi perahu dan seterusnya dipasangkan layar untuk mengendalikan angin dan ombak bagi membantu mereka bergerak dengan lebih jauh. Pada awal abad Masihi, perahu yang paling besar merentasi Laut China Selatan dan Laut Andaman dikuasai oleh perahu-perahu orang Melayu dan bangsa Melayu menjadi orang tengah bagi tujuan perhubungan dan perdagangan.
Seterusnya, Dr. Ahmad Jelani menerangkan tentang jenis-jenis perahu, saiz dan kegunaannya yang berbeza-beza. Bermula dengan penciptaan perahu kulit yang diperbuat daripada kulit pokok meranti, kemudian perahu lesong atau perahu korek dicipta setelah orang Melayu mempunyai alatan kerja yang lebih keras seperti kapak dan beliung. Rentetan itu, tercipta pula perahu jalur yang diperbuat daripada kulit dan papan serta boleh digunakan untuk mengangkat barangan. Bagi menjadikan saiz kapal lebih besar, perahu lesong disambung dan dinaikkan ke atas kapal dan hasilnya terciptalah kapal jong.
Perahu-perahu dicantumkan menggunakan satu papan ke atas satu papan yang lain menggunakan pasak kayu. Orang Melayu tidak menggunakan besi pada ketika itu kerana mereka menganggap penggunaan besi pada kayu perahu akan menyebabkan perahu mudah terbakar. Sebaliknya mereka lebih memilih pasak kayu kerana kulit kayu akan mengembang apabila terkena air dan dapat mengelakkan air masuk ke dalam kapal.
Sebelum perahu China dan India sampai ke alam Melayu, perahu-perahu Melayu telah terlebih dahulu menjelajahi pelabuhan-pelabuhan mereka. Orang Cina dan India mengatakan perahu-perahu tersebut begitu besar melebihi 60 meter dan boleh memuatkan penumpang dan awak-awak seramai 600 sehingga 1000 orang serta kargo melebihi berat seribu tan. Perahu-perahu tersebut dibuat di selatan Myanmar dan Jawa Timur kerana di Selat Melaka tidak terdapat kayu keras yang diperlukan untuk membina perahu.
“Orang Barat dan orang Cina berpendapat bahawa layar bagi kapal-kapal Melayu diperbuat daripada daun palma, nipah, kelapa atau mengkuang, tetapi sebenarnya layar kapal-kapal Melayu diperbuat daripada ijuk kerana daun tersebut tidak kuat dan mudah reput. Ijuk pula diperoleh daripada pohon rembia yang merupakan makanan ruji orang Melayu pada zaman itu sebelum menanam padi setelah ketibaan para pedagang China ke alam Melayu. Layar yang diperbuat daripada ijuk akan menggelembung apabila terkena angin dan menjadikan sesebuah kapal lebih kuat dan selamat untuk dibawa berlayar,” ujar Dr. Ahmad Jelani.
Bermula pada abad ke-8, kapal-kapal besar sudah tidak digunakan secara meluas. Kemudian orang Melayu mencipta kapal-kapal yang lebih kecil bersaiz 30 meter. Kapal-kapal tersebut dilihat banyak berlayar ke kepulauan Sulawesi, Timur dan Nusa Tenggara untuk mengambil barang dagangan dan dikumpulkan di pelabuhan seperti Palembang sebelum berlayar ke Singapura, Brunei dan Makassar pada abad ke-14 dan ke Melaka pada abad ke-15.
Jelas Dr. Ahmad Jelani, pelabuhan utama menjadi tempat longgokan barang dan tumpuan kapal-kapal dari Timur dan Barat. Manakala perahu-perahu orang Melayu berevolusi bukan sahaja mengikut keperluan semasa, bahkan berdasarkan daya cipta masyarakat tempatan.
Pada akhir syarahan beliau, Dr. Ahmad Jelani menerangkan tentang beberapa jenis kapal, iaitu kapal Lancang yang mempunyai dua kemudi bagi memudahkan pergerakan di kawasan yang berlumpur, berbatu-batu serta di pulau-pulau yang tenggelam dengan dilantik seorang malim secara sementara untuk mengenal pasti pulau-pulau tersebut.
Dr. Ahmad Jelani juga berkata bahawa kapal Jong mempunyai pelbagai bentuk dan saiz seperti Jong Jawa dan Jong Melayu. Perahu besar atau perahu Bidur pula ditiru daripada perahu Pinisi yang dibuat di Terengganu dengan layar hadapannya merupakan layar China dan bukan layar orang Melayu kerana layar orang Melayu mempunyai tanjak. Perahu Pinisi mempunyai tiga layar di hadapan dan bukan perahu Melayu. Pada zaman ini, perahu yang digunakan adalah sangat kecil dan hanya mempunyai satu layar. Penggunaannya juga sangat terhad kerana terdapat medium pengangkutan lain yang semakin berkembang.