Oleh Aisyah A.
14 Mac 2023, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Siri Syarahan Melayu Tanjong Malaysiana telah dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) dengan kerjasama Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kumpulan Facebook Ikhwan Jawi Pekan pada 13 Mac 2023 bertempat di Ruang Pameran, Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM.

Jejak Salasilah Arab Tanjong.

Syarahan ini merupakan siri ke-8 yang membawa tajuk Arab Tanjong: Jejak Salasilah dengan panel jemputan ialah Dr. Habsah Abdul Rahman dan moderator pula ialah Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican yang merupakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, ISTAC-IIUM.

Dr. Habsah pernah berkhidmat untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan hampir 10 tahun di St. Nicholas Home dan telah menghasilkan bahan bacaan Braille secara elektronik yang bukan sahaja membantu guru Pendidikan Khas, malah melatih mereka untuk memajukan penghasilan buku teks Braille secara elektronik di seluruh Malaysia sejak tahun 1994. Pada sesi kali ini, Dr. Habsah telah berkongsi mengenai kisah Arab Tanjong: Jejak Salasilah yang menjelaskan latar belakang penduduk Arab Tanjong di Pulau Pinang. Pembentangan tersebut telah membawa pendengar kepada salasilah sebuah kabilah di Pulau Pinang.

Salasilah adalah daftar keluarga atau keturunan dan didefinisikan sebagai cabang ilmu yang berkaitan dengan geneologi. Ilmu geneologi atau ilmu al-Ansab dalam bahasa Arab dan Genealogy dalam bahasa Inggeris merupakan bidang ilmu Arab sejak zaman dahulu. Selain itu, ilmu ini juga merupakan sebuah subjek pengajian wajib di madrasah atau universiti di negara Arab dan merupakan subjek pengajian dalam bidang Kesusasteraan Arab. Salasilah merupakan perkara yang sangat penting bagi bangsa Arab kerana merupakan sebahagian daripada sosiobudaya Arab untuk mengenal asal-usul serta latar belakang orang Arab selain mengenali keturunan dan ahli keluarga serta menjejaki ahli keluarga yang telah berhijrah dan terpisah.

Pada tahun 1799, bangsa Arab menetap di sekitar Tanjong Penaga, George Town, Lebuh Acheh, Armenian dan Campbell kerana kawasan tersebut mempunyai sawah padi dan bandar Melayu. Kawasan tersebut menjadi tumpuan apabila orang Arab datang berdagang kerana terdapat kemudahan rumah inap sebagai penginapan sepanjang tempoh perdagangan mereka. Antara barang perdagangan mereka adalah kopi, lada, rempah ratus, emas, berlian serta batik. Lebuh Acheh juga pernah dikenali sebagai “Serambi Mekah” kerana pernah menjadi lokasi untuk umat Islam bertolak menunaikan haji. Setelah bilangan penduduk semakin meningkat dan orang Arab mula berkahwin dengan gadis Melayu dan beranak pinak, mereka mula berpindah ke kawasan luar bandar kerana kawasan tersebut terhindar daripada hingar bingar bandar Pulau Pinang pada masa itu.

Penghijrahan ini telah menjadikan pertalian keluarga bagi bangsa Arab semakin renggang dan wujudnya jurang maklumat salasilah bagi sesebuah kabilah. Ketua Kabilah Az-Zubaidi di Tanjong adalah Isa bin Abdul Hafiz Az- Zubaidi (1896-1946). Beliau telah mengembara ke Pulau Pinang bersama sepupunya, Omar bin Salem. Mereka mempelajari tentang emas dan berlian serta menjalankan perniagaan sendiri setelah mahir tentang perdagangan emas dan berlian. Setelah ketua kabilah meninggal dunia, hubungan salasilah terputus kerana tiada yang mengumpulkan semua ahli kabilah. Walau bagaimanapun, Isa Az-Zubaidi masih berhubung dengan ahli keluarga dan adik-beradiknya di Indonesia.

Jejak ahli kabilah bermula apabila ahli Kabilah Az-Zubaidi mula menyemak pertemuan yang berkaitan untuk menentukan pertalian Az-Zubaidi di Tanjung dan Az-Zubaidi di Yaman. Semakan dan pengesahan pertalian keluarga dibuat dengan menentukan Family Tree dan mengumpulkan data ahli keluarga yang datang berziarah dengan digabungkan maklumat tersebut sehingga mendapat pertalian keluarga yang betul. Jenis salasilah bagi bangsa Arab adalah berbeza dengan negara Barat dengan salasilah keluarga ditentukan oleh keluarga bapa dan ibu, manakala bagi negara Arab ditentukan sepenuhnya oleh susur galur daripada keturunan bapa.

Salasilah Arab direkodkan daripada generasi pertama sehingga generasi ke-8 bersama nama dan umur penulis salasilah pada masa itu. Maklumat tersebut sentiasa dikemas kini kerana kekangan medium komunikasi pada zaman tersebut. Salasilah Az-Zubaidi telah direkodkan oleh generasi pertama ke-13, iaitu Abdullah bin Hassan bin Saeed Az-Zubaidi yang merupakan seorang bekas tentera dan bekas ahli bola sepak United Arab Emirates (UAE) dan Dr. Abdul Hakem Az-Zubaidi yang merupakan seorang penulis dan penyair.

Petunjuk keturunan Arab Tanjong.

Antara inisiatif untuk menyediakan salasilah keluarga adalah dengan mendapatkan maklumat keluarga terdekat serta kisah keluarga dalam lingkungan diaspora. Selain itu, maklumat tersebut boleh disemak dengan salasilah sedia ada oleh mana-mana keluarga terdekat dan membandingkan fakta bagi menjamin kesahihan keturunan. Bagi menjaga maklumat tersebut, ia perlu sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa kerana pertambahan dan kematian ahli keluarga dapat memberi kesan kepada salasilah yang dibuat. Tambahan lagi, maklumat yang diperoleh dalam majlis ziarah dan pertemuan keluarga perlu dicatat kerana di situ terdapat cerita yang mungkin tidak dapat diketahui oleh ahli keluarga yang lain. Antara perkara terpenting dalam pertemuan keluarga adalah mengambil dan mengumpul gambar serta merakamkan pertemuan untuk dijadikan kenangan dan rekod bagi keturunan akan datang.

Media sosial kini telah berevolusi dan telah banyak memudahkan dan merapatkan lagi perhubungan bemula pada awal tahun 2000. Banyak cabaran yang akan dihadapi dalam mengumpul ahli keluarga dan menentukan salasilah. Antaranya termasuklah generasi kini yang kurang minat terhadap hal tersebut, kematian generasi lama yang banyak mengenali saudara-mara dan kesukaran mengumpulkan ahli keluarga terutamanya yang menetap jauh. Namun begitu, kita sewajarnya mengambil peluang untuk mencari semula susur-galur keturunan melalui perkembangan medium perhubungan yang semakin canggih dan segalanya berada di hujung jari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.