Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan, dan Lembaga Kerapatan Adat 50 Koto Sumatera Barat (LKAM), Indonesia pada hari ini menganjurkan Seminar Antarabangsa Kebudayaan Adat Minangkabau Negeri Kembar 50 Koto dan Negeri Sembilan kali ke-2 (SEMINANG II).

Seminar ini bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi WeBex dan paparan secara lansung melalui Facebook ATMA UKM. Seminar ini mengumpulkan para penyelidik kebudayaan Melayu dari Malaysia dan Indonesia, seterusnya melestarikan aktiviti penyelidikan peradaban Melayu walaupun dalam kekangan penularan COVID-19.

Pengarah ATMA, YBhg. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Pengarah ATMA, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dalam kata alu-aluannya memaklumkan bahawa hubungan pentadbiran ATMA dengan pihak Lembaga Kerapatan Adat 50 Koto Sumatera Barat Indonesia telah bermula sejak tahun 2019, iaitu sejak penganjuran Wacana ATMA yang bertajuk “Persamaan Identiti Antara 50 Koto dan Negeri Sembilan: Sejarah, Budaya dan Warisan.” Beliau berharap seminar yang dijalankan pada hari ini dapat menguatkan lagi kerjasama rakan strategik dengan Indonesia khususnya dari segi jaringan dan pemerkasaan dalam bidang penyelidikan kebudayaan dan Adat Minangkabau.

Dalam ucaptama SEMINANG 2022, Felo Penyelidik Kanan ATMA UKM, Profesor Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin berkata, SEMINANG yang telah diadakan pada kali pertama adalah bertarikh 3 Oktober 2019 dan bertempat di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.

Sehubungan dengan itu, cadangan seminar ini diadakan adalah bertujuan untuk meneruskan lagi kesepakatan yang telah terjalin sejak resolusi yang telah dipersetujui.

“Justeru, ATMA UKM mengadakan bagi kali kedua Seminar Antarabangsa Kebudayaan Adat Minangkabau dengan tema Pengaruh Kepimpinan Adat Minangkabau di alam Melayu. Kerjasama rakan strategik dari Indonesia akan menyemarakkan lagi jaringan dan pembudayaan penyelidikan kebudayaan Melayu secara langsung dan tidak langsung,” jelas beliau.

Seminar ini dijalankan dengan pembentangan 12 kertas kerja pengkaji pelajar sarjana tempatan dan rakan serumpun, Indonesia berkenaan dengan  e-prosiding SEMINANG II dengan kupasan tajuk secara mendalam seperti yang berikut;

  • Mohd Rosli Bin Saludin − “Falsafah dan Nilai Institusi Raja di Negeri Sembilan”
  • Alis Marajo − “Sistem Adat Nan Terpakai di Luak 50 Koto dan Negeri Sembilan”
  • Mohd Nasir Saludin − “Bijaksana Pemimpin dalam Pengurusan Kepimpinan Adat di Minangkabau dan Adat Perpatih di Negeri Sembilan”
  • Muhamad Shafiq Mohd Ali − “Kepimpinan Masyarakat Minangkabau melalui Perang Padri”
  • Supyan Hussin − “Pengaruh Minangkabau dalam Kearifan Tempatan di Alam Melayu: Apa Asasnya Kalau Bukan Akal Budi Melayu?”
  • Abdul Karim Mansor dan Suriyani Othman − “Unsur-unsur Tasawuf dalam Adat Perpatih Negeri Sembilan dan Adat Minangkabau”
  • Yulfian Azrial − “Pengaruh Dato’ Tumenggung dan Dato’ Perpatih di Alam Melayu”
  • Yunirwan Khatib − “Tatacara/Proses Pernikahan di Luak Limo Puluah (Nagari Payobasung)”
  • Zulhikmi − “Prosesi Batagak Pangulu atau Tatacara Lantikan Kepemimpinan Adat di Minangkabau
  • Zulkifli − “Asal Usul Nama Suku di Negeri Sembila dan Kaitannya dengan 50 Kota”
  • Ahmad Bazri Mokhtar dan Mohd Rosli Saludin − “Mendalami Adat Perpatih Berdasarkan Tambo Alam Minangkabau”
  • Yulizal Yunus − “Pengaruh Kepimpinan Raja-Raja di Minangkabau”
Timbalan Naib Canselor (Pendidikan dan Inovasi) UKM, YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad.

Rumusan dan resolusi SEMINANG 2022 yang berlangsung selama satu hari ini diharap dapat menyumbang kepada pemantapan pelan strategik ATMA yang telah pun disejajarkan dengan pelan strategik UKM.

Hal ini dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Pendidikan dan Inovasi) UKM, YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad yang berpendapat, penganjuran seminar tersebut bertepatan dengan pelancaran Pelan Strategik T.E.R.A.S. UKM 2021 – 2025 di bawah “Kebitaraan Watan” yang berkait rapat dengan warisan budaya.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Nicole Tan Lee Koon, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan yang merangkap ADUN Bukit Kepayang. Beliau juga yang banyak menyumbang dalam menjayakan seminar tersebut diharap dapat terus memberi sokongan dalam program yang akan datang terutamanya dalam bidang kebudayaan yang merupakan salah satu bidang tujahan ATMA yang penting.

UKM memikul peranan yang besar dalam memartabatkan warisan kebudayaan masyarakat di Malaysia bagi membentuk identiti bangsa dan negara. Dengan kejayaan penganjuran seminar ini, ATMA diharap dapat menghasilkan penyelidikan dalam bidang yang lebih meluas dan meliputi seluruh kehidupan masyarakat. Oleh itu, penyelidikan dalam bidang kebudayaan perlu digarap secara lebih mendalam dan holistik bagi memperolehi gambaran besar tentang tamadun Melayu ini.

ATMA juga telah menggunakan pendekatan yang holistik dan multidisplin dalam merangka program pascasiswazah penyelidikan dan penerbitan dengan menjadikan displin Falsafah, Agama dan Sejarah sebagai antara displin teras kajian bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan. Ini adalah satu daripada usahanya dalam mencapai matlamat penubuhannya apabila pendekatan tersebut kian mendapat gerapan yang lebih jelas. UKM meletakkan harapan yang tinggi agar ATMA mampu menjadi pusat kecemerlangan universiti sebagai Institut Alam dan Tamadun Melayu yang tersohor bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!