26 April 2022, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Wakana Katayama kelihatan manis dengan berbaju kurung.

Bermula dengan hanya mendengar kawan-kawan bercerita tentang keindahan Ramadan membuka hati gadis manis dari negara matahari terbit untuk datang ke Malaysia yang beribu-ribu batu jauhnya, demi merasai suasana pada bulan Ramadan.

Ternyata rahmat Ramadan bukan sahaja menyentuh hati umat Islam malah menarik Wakana Katayama ke Malaysia merasai sendiri pengalaman dan suasana bulan puasa yang sebelum ini hanya didengari melalui kawan-kawan dan media sosial.

“Semasa saya belajar di Kyoto Sangyo University, Jepun, saya berkawan dengan pelajar Muslim dari Indonesia yang suka bercerita tentang Islam. Bermula dari situ, minat untuk mengenali Ramadan mula berputik,” ujarnya.

Pertama kali menyambut bulan yang penuh berkat di Sintok, Kedah, perasaan ingin tahu terus membuak-buak. Masa dan peluang yang ada tidak dilepaskan dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba ilmu baharu.

“Apabila saya tiba di Malaysia, saya terus rasa hendak berpuasa sebaik-baik sahaja rakan-rakan memberitahu bahawa Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Saya amat teruja untuk menyambut Ramadan kerana sebelum ini saya hanya dengar-dengar sahaja tetapi tidak pernah melaluinya.” Luah graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Kyoto Sangyo University, Jepun yang pernah menjalani praktikum selama enpat bulan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2019.

Wakana terkesima melihat umat Islam berpuasa sambil meneruskan rutin harian, bekerja mahupun belajar seperti biasa malah lebih mengagumkannya apabila anak-anak kecil juga berpuasa seperti orang dewasa. Bagi Wakana, pertama kali tidak makan dan minum pada siang hari menjadi detik paling memeritkan kerana tidak pernah berpuasa seumur hidupnya.

“Selalunya kita boleh makan, tetapi dalam bulan Ramadan, saya tidak boleh makan setiap masa. Jadi, hari pertama berpuasa amat memeritkan dan sangat sukar kerana orang Jepun tidak biasa dengan keadaan ini.”

Wakana tidak kekok membuat ketupat daun palas.

Menurut Wakana, “Saya mula berasa lapar pada pukul 2.00 petang. Rupa-rupanya begini rasanya berpuasa. Macam-macam perasaan datang silih berganti, dahaga, penat, teringin hendak makan tetapi saya tahan dan sabar semata-mata ingin merasai bagaimana umat Islam berpuasa.”

“Hal ini disebabkan masih banyak perkara yang saya tidak tahu dan saya ingin meneroka lebih lagi kerana apabila semakin kenal Ramadan, semakin mudah untuk menyesuaikan diri,” ujarnya.

Walaupun mengharungi hari yang mencabar, sokongan rakan-rakan yang beragama Islam membakar semangatnya untuk terus bertahan. Wakana bersyukur dengan keprihatinan rakan-rakan yang sentiasa bercerita tentang Ramadan dan berkongsi bahan bacaan yang disertakan dengan info bergambar yang memberikan kekuatan buatnya untuk terus tabah menghadapi cabaran berpuasa.

“Nikmatnya puasa apabila kita dapat menahan lapar dahaga dari pagi dan menjamah makanan apabila terbenamnya matahari. Saat berbuka puasa memang seronok tidak terkata, bayangkan selepas penat seharian tidak makan apa-apa terutamanya pada hari pertama yang amat memeritkan, saya tidak sangka dapat melakukannya,” luahnya.

Mengulas lanjut pengalamannya pada hari pertama berpuasa, Wakana dan rakan sebilik tidak tahu tentang makan pada awal pagi, iaitu bersahur. Jadi, mereka tidak bangun, tidak makan apa-apa dan bertahan hingga pukul 5.30 petang.

“Setelah diceritakan panjang lebar, barulah saya tahu cara untuk kekal sihat bertenaga dengan sahur. Sebaik-baik masuk sahaja hari kedua, kami bangun seawal pukul 5.00 pagi, menyiapkan makanan untuk bersahur seperti roti, pisang dan air,” tambahnya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui banyak perkara yang dipelajari selain ibadah puasa antaranya selok-belok pentadbiran di Malaysia, mengenali budaya dan masyarakat majmuk serta mengubah tanggapannya terhadap Islam.

Wakana tidak melepaskan peluang berbuka puasa di masjid yang sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk merasai suasana pada bulan puasa.

Wakana bersama-sama mama, Asiah Din (dua dari kiri) dan sebahagian daripada keluarga angkatnya.

“Ketika ke masjid mereka tersenyum kepada saya dan menyapa dengan senyuman mesra, saya teruja diterima oleh orang Malaysia dan berharap Islam memberi kebaikan untuk orang lain. Saya mengagumi Muslim kerana mereka dapat mengawal diri mereka apabila berpuasa, semua orang memahami antara satu sama lain dan mereka kelihatan seperti keluarga di masjid.”

“Puasa sukar bagi saya kerana saya tidak pernah berpuasa, namun puasa adalah perkara biasa bagi mereka. Apabila saya memberitahu mereka bahawa saya juga berpuasa, mereka terkejut dan gembira, lalu kami berbuka bersama-sama dengan pelbagai jenis makanan yang sedap,” ujarnya.

Alah bisa tegal biasa. Sejak berpuasa, Wakana kini selesa untuk meneruskan puasa pada hari-hari berikutnya dan sesekali berbuka puasa di Masjid Sultanah Bahiyah yang sentiasa mengalu-alukan tetamu untuk merasai suasana Ramadan. Wakana turut teruja melihat sendiri cara memasak bubur lambuk yang sangat digemari.

Katanya, “Saya seronok dapat memasak bubur dan saya lihat orang Melayu sangat rapat antara satu sama lain. Pertama kali bertemu walaupun mereka tidak kenal saya tetapi mereka mesra menyambut saya dan sangat ramah bercerita mengenai bubur lambuk sehingga saya rasa seperti sudah lama kenal.”

“Setibanya di dapur Pusat Islam ketika itu, acara memasak sudah bermula dalam cuaca yang panas apabila saya mendekati sekitar periuk besar itu terasa lebih panas. Ini kali pertama saya melihatnya dan sangat mencabar kerana mereka berpuasa, tidak boleh minum air jika dahaga tetapi mereka boleh kacau bubur dengan senyuman dan celoteh yang menghiburkan,” ujar Wakana.

Baginya, pengalaman berpuasa ini merupakan suatu pengalaman hebat bersama-sama orang Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!