17 Mei 2022, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Akhirnya, filem yang amat ditunggu-tunggu sejak beberapa tahun lalu, Mat Kilau akan menemui penonton tidak lama lagi. Setelah tertunda agak lama lantaran penularan pandemik COVID-19, filem biografi epik ini akan ditayangkan di 90 buah pawagam di seluruh negara bermula 23 Jun 2022 nanti.

Sebagai antara promosi menjelang tarikh tersebut, poster rasmi Mat Kilau telah dipamerkan sejak 13 Mei 2022 lalu di semua laman sosial. Treler rasminya pula akan ditontonkan kepada khalayak pada 16 Jun 2022 nanti.

Kata peribahasa, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Demikianlah yang akan disaksikan oleh penonton menerusi karya terbaharu pengarah prolifik, Syamsul Yusof. Mat Kilau, terbitan Studio Kembara ini sebuah filem yang mengangkat sejarah penting negara.

Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan sebagai amat berharga kerana tidak hanya untuk mencatat rekod dalam dunia hiburan tanah air, malah mahu berkongsi dengan generasi masa kini mengenai kehebatan dan jati diri pahlawan tersebut dalam mempertahankan negara.

Aktor yang terkenal dengan watak Jai dalam filem KL Gangster (2011), dan KL Gangster 2 (2013), Dato’ Adi Putra dipilih menghidupkan watak berdarah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu, atau lebih dikenali sebagai Mat Kilau.

Beliau kemudian dibantu oleh barisan pelakon yang hebat serta berwibawa seperti Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah (ayah Mat Kilau), Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin), dan aktor aksi lasak handalan Indonesia, Yayan Ruhian (Toga).

Filem yang mengisahkan pahlawan Melayu dari Pahang, Mat Kilau bersama-sama ayahnya, Tok Gajah dan sahabat-sahabat, bangkit menentang penjajahan British ini turut diperkuat oleh barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Dato’ Jalaluddin Hassan (Haji Muhammad), Dato’ Rahim Razali (Imam Bottoqh), Namron (Haji Sulong), Shaharuddin Thamby (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty (ibu Yassin).

Dengan kos pembiayaan sebanyak RM8.0 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagian daripadanya di Perak, serta beberapa buah lokasi lain, termasuk Melaka, Selangor dan Pahang sendiri.

Penerbitnya, Shahruddin Dali berharap semua rakyat Malaysia menonton Mat Kilau dan terhibur. Katanya, filem ini akan membawa kita kembali ke zaman pahlawan handalan tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan Mat Kilau dalam memperjuang kedaulatan tanah air kita. Tambah beliau, fileh ini ialah gambaran sebuah sejarah yang sangat memberikan inspirasi.

Latar masa Mat Kilau ialah suasana tahun 1892 ketika pihak kolonial British telah menawan tanah-tanah di Pahang, serta mengaut hasil bumi negeri tersebut yang dimiliki orang-orang Melayu. Tidak cukup dengan itu, British mencampuri urusan adat, dan agama orang Melayu.

Tidak rela membiarkan kebiadaban British di Pahang terus berleluasa, Mat Kilau bersama-sama Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang kuasa penjajah tersebut.

Mat Kilau dan Tok Gajah ternyata bijaksana dalam merancang penentangan. Akibatnya, British tertekan, dan mengalami kerugian sehingga berlakunya pertempuran sengit.

Filem aksi lasak tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu membebaskan tanah air tercinta wajar, serta berbaloi ditonton oleh rakyat Malaysia, apatah lagi yang kuat patriotismenya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!