Oleh Izzat Isa
18 Jun 2022, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jitra – Pada 16 Jun 2022 yang lalu, telah berlangsungnya majlis Wacana Kearifan Tempatan: Jikey Teater Tradisional Langkawi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPGKDA). Majlis ini diadakan di Dewan Besar IPGKDA, Jitra, Kedah dan disiarkan secara langsung melalui YouTube dan Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan IPGKDA.

Majlis dimulakan dengan sesi syarahan budaya oleh Pengarah JKKN Kedah, Puan Sabarina Masadi, diikuti persembahan Color of Malaysia (COM) oleh JKKN Kedah. Majlis diserikan dengan kehadiran dan ucapan oleh (Pengarah DBPWU), Tuan Rahimi Arifin dan pengarah IPGKDA, Tuan Haji Hashim Asman. Hadirin seterusnya dihiburkan dengan persembahan jikey bahagian pembukaan oleh Kelab Seni Budaya IPGKDA.

Sesi wacana kearifan tempatan seterusnya dilangsungkan pada pukul 11.15 pagi dengan kendalian moderator, Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir dan barisan ahli panel, iaitu Encik Mohd Faisol Rahim, Encik Mohd Yazi Kerya dan Encik Muhammad Izzat Md Isa. Sesi wacana memfokuskan teater tradisional Melayu jikey yang pernah popular di wilayah utara Semenanjung Malaysia dan wilayah selatan Thailand. Di Malaysia, teater ini mendapat sambutan hangat di Pulau Langkawi.

Pelbagai aspek dalam pementasan teater jikey disentuh seperti aspek pensejarahan, bentuk dan struktur, estetika persembahan, lagu, adat dan ritual, sosiologi masyarakat, keunikan, cabaran, kelestarian sehinggalah perkembangan terkini. Buku tulisan Encik Muhammad Izzat Md Isa berjudul Jikey: Teater Warisan Langkawi terbitan Penerbit Universiti Utara Malaysia tahun 2022 diraikan dalam wacana ini bagi memberikan pendedahan kepada pembaca, peminat teater dan khalayak awam.

Sesi Wacana Kearifan Tempatan: Jikey Teater Tradisional Langkawi. 
Foto: Mohamed Nazreen Shahrul Hamid

Ahli panel bersepakat bersetuju bahawa teater jikey merupakan satu-satunya teater tradisi yang mengetengahkan semangat Keluarga Malaysia. Keistimewaan ini didasari dengan kemunculan watak pelbagai kaum, iaitu Tuan Keling (saudagar Muslim dari India), Raja (pembesar tempatan) dan Pek Sen (peniaga berketurunan Cina). Selain itu, watak Perempuan Keling dan Awang turut melengkapkan watak dan cerita. Begitu juga dengan nilai dan unsur didaktik yang ada dalam persembahan jikey dan teater tradisional Melayu yang lain.

Majlis ini membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali satu lagi seni persembahan tradisional tempatan terutamanya di Kedah, selain teater tradisional mek mulung. Hadirin yang rata-ratanya penuntut semester akhir bakal membina kerjaya dalam bidang perguruan di harap dapat menghayati, beroleh manfaat daripada hasil sesi wacana bagi melengkapkan diri dan membantu perkembangan seni budaya dalam kalangan pelajar sekolah pada kemudian hari. Majlis juga turut dihadiri oleh aktivis teater, penggiat seni budaya dan pensyarah dari universiti berhampiran.

Majlis ini merupakan pengisian kepada aktiviti bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 peringkat negeri Kedah. Majlis ini juga dilengkapkan dengan sesi jualan buku oleh pihak DBP dan JKKN Kedah. Pihak penganjur berharap wacana seumpama ini dapat diteruskan lagi dengan pemugaran kepada pelbagai jenis seni budaya khazanah warisan bangsa yang lain lagi untuk pengetahuan masyarakat umum, terutamanya generasi muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.