27 Jun 2022, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dengan kerjasama Unit Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka berjaya melaksanakan pementasan teater “Langgam Merdeka” bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP yang ke-66.

Kerjasama yang julung-julung kali diadakan ini telah memberikan impak positif terhadap industri seni teater tempatan khususnya di negeri Melaka setelah dua tahun menyepi kerana sekatan dan halangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kehadiran lebih 300 penonton di Auditorium Ibu Zain, UiTM Kampus Bandaraya Melaka telah mengembalikan momentum para karyawan teater negeri Melaka terutamanya anak-anak seni UiTM dalam setiap babak dan aksi sebagai anak panggung. 

“Langgam Merdeka” mengisahkan dugaan percintaan Remy dan Julia yang berlainan latar belakang keluarga serta perbezaan pendapat tentang budaya berbahasa.

Isu bahasa ibunda dan bahasa asing menjadikan mereka tidak sehaluan.

Konflik semakin panjang apabila Amir, adik Remy dihukum di sekolah kerana melontarkan bahasa yang tidak sopan terhadap Cikgu Rahman. Keadaan semakin tegang apabila ayahnya sendiri menyokong tindakan Amir dengan alasannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, peleraian konflik pada akhir cerita telah membongkar pelbagai rahsia tentang latar sebenarnya keluarga Remy. 

Antara babak dalam teater “Langgam Merdeka”.

Pementasan yang digarap dengan elemen bahasa, budaya dan sejarah ini disulami dengan lelucon dan satira terhadap masyarakat. Bukan mudah menzahirkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaaan pada era serba moden apatah lagi anak muda pada masa kini lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris.

Teater arahan Mohd. Hatta Mohd. Yatim ini dipentaskan selama dua hari pada 25 dan 26 Jun 2022. Pementasan ini diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Rasdi bin Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka dan Encik Mohd. Riduwan bin Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.