Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMemulakan perjalanan kariernya dalam bidang penyiaran dan perfileman secara suka-suka sebagai pekerja rencam (handyman) dan seterusnya mendalami ilmu tersebut secara formal di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammed Izzat Hasan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Seni Layar menyatakan bahawa semuanya berlaku tanpa dirancang.
Hal ini dikatakan demikian kerana Izzat tidak pernah terfikir akan bergiat aktif di sebalik tabir sebagai tenaga produksi filem apatah lagi dapat menjayakan pelbagai iklan, drama dan dokumentari di bawah arahan pengarah terkenal tanah air.
Ujar Izzat, ketika masih di kuliah, dia sentiasa menajamkan kemahiranya dalam bidang produksi dengan menyertai pelbagai pertandingan seperti Festival Filem Pelajar Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 2003, kemudian tahun 2004 dan 2005. Di festival itu, Izzat mempertaruhkan beberapa karya filem pendek eksperimentasi berjudul Tutupkan Air itu, dokumentari The Tearing Celluloid, video berbentuk majalah dan juga iklan Nokia 3650. Izzat juga tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan Festival Filem Pendek Malaysia “Cerita Satu Malam” yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2007 dengan tajuk Cerita Satu Malam. Usahanya juga berbaloi kerana hampir kesemua penyertaannya sering berakhir dengan kemenangan.
Bercerita tentang antara aspek utama yang menjadi kajiannya dalam menghasilkan sesebuah produksi, Izzat menyatakan bahawa elemen pencahayaan dalam filem ialah satu daripada aspek penting dalam pembikinan sesebuah filem kerana aspek tersebut mewujudkan rasa serta mood berdasarkan sesebuah genre filem. Pada masa yang sama, pencahayaan juga berfungsi sebagai medium penceritaan dan metafora visual.
Penataan cahaya juga merupakan salah satu kekuatan artistik dalam pembikinan filem kerana mampu menarik perhatian penonton untuk menonton dan menilai filem tersebut. Pencahayaan boleh mendorong mood penonton untuk menjadi sedih, gembira atau takut.
Izzat yang menggunakan teori pencahayaan sebagai penceritaan (lighting as storytelling) oleh Blain Brown sebagai panduannya dalam aspek pencahayaan cahaya suram (low key) berkata, teori ini dapat membuka mata dan membantu sinematografer atau pelajar filem untuk menghasilkan pencahayaan berbentuk low key dengan baik, lebih mendalam serta mudah kerana dapat menterjemah maksud skrip dan memberikan mood seram, dramatik mahupun saspens. Kajian ini dapat menjelaskan kedudukan, kandungan, idea, fungsi dan teknologi yang digunakan dalam pembuatan sesebuah pencahayaan dalam filem.
Berbalik kepada pengalamannya sebagai penerbit teknikal, pengarah dan juga penerbit rancangan televisyen, Izzat berkata, antara program TV yang pernah dihasilkannya ialah travelog Zoom Malaysia, MTIB Capsule, My Australia Adventure dan banyak lagi. Izzat juga turut mengambil peluang untuk membuka rumah produksi dan bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Hal ini secara tidak langsung telah mengajar erti susah payah serta mengalami sendiri jatuh bangun dalam industri dan dunia perniagaan.
Kini, setelah puas bergelumang dalam bidang penerbitan produksi, Izzat beralih arah dengan menjadi pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Apabila diajukan tentang pendapatnya berkaitan dengan perkembangan industri perfileman negara, Izzat berkata bahawa pada satu ketika dahulu, dunia perfileman negara pernah berada di puncak kejayaan, iaitu pada awal tahun 1950-an hingga 1970-an. Pada ketika itu, lahirnya banyak nama pengarah besar yang tidak asing lagi seperti P. Ramlee, S. Kadarisman, Omar Rojik, Hussien Hanif dan Mat Sentul. Mereka telah menghasilkan pelbagai genre filem yang begitu kreatif dan hebat serta mendahului negara lain. Karya mereka begitu tersohor dan mahsyur hingga hari ini.
Nama tokoh yang hebat dan besar ini sentiasa bergerak dengan idea dan pemikiran yang sangat subjektif untuk dikupas dalam karya mereka. Karya mereka dibentuk dengan pemikiran yang sangat kritis dalam menongkas arus moden penceritaan filem bagi memenuhi selera penonton yang semakin bijak menonton filem.
Hingga kini, industri perfileman Malaysia masih lagi bergerak aktif dan berkembang, namun adakala kebebasan berkarya oleh mereka ini seolah-olah disekat dengan undang-undang negara yang secara langsung membataskan kreativiti mereka dalam membentuk sebuah cerita dan visual yang lebih terbuka.
Namun begitu, sekatan ini ditangkis baik oleh mereka dengan cara yang lebih telus dengan mengkaji pola pemikiran penonton, kemudian menyelitkan unsur yang dianggap tidak keterlaluan seiring dengan konsep filem sebagai seni (film as art) dan juga filem sebagai perniagaan (film as business). Negara juga tidak tandus dengan pengarah berbakat besar kerana nama seperti U-Wei Haji Saari, Bade Haji Azmi, Mamat Khalid, Aziz M. Osman, Gaz Abu Bakar, James Lee, Ho Yu Hang, Saw Teong dan Shanjey Kumar Perumal masih lagi berupaya menghasilkan karya yang kreatif serta kontemporari.
Sungguhpun demikian, Korea Selatan yang dahulunya kurang dikenali sebagai pembikin filem kini telah jauh meninggalkan negara lain serta telah mendominasi industri perfileman dunia. Filem korea Selatan ini sudah mampu menembusi pasaran Hollywood sehingga ada antaranya pernah memenangi anugerah di festival filem di Amerika Syarikat. Hal ini menunjukkan bahawa industri dan juga kualiti filem Korea Selatan sudah berada sama tinggi dengan filem antarabangsa yang lain.
Gelombang kebudayaan Korea Selatan telah menjadi satu kuasa yang lembut dalam meningkatkan pendapatan negara melalui eksport budaya industri seni seperti muzik, tarian dan filem sehingga menjadi ikutan seluruh dunia. Keunikan budaya, sosial, makanan, teknologi, ekonomi dan juga cara hidup menjadi elemen utama yang dipaparkan dalam filem mahupun rancangan televisyen. Pendek kata, mereka berjaya menakluk dunia dengan menjual secara pakej kesemua budaya meraka dalam bentuk industri seni dan hiburan.
Kejayaan ini haruslah dikaji dan Malaysia juga boleh menjadikan Korea Selatan sebagai penanda aras dalam memajukan industri seni kreatif negara.