Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jika tidak kuat semangat, kita tentu mudah mengalah. Bayangkan walaupun perjalanan seninya telah bermula sejak hampir dua dekad lalu, tetapi Emeer Bakri seolah-olah seperti pendatang baharu. Nama anak kelahiran Kuantan, Pahang ini kurang diingati dalam kalangan penggemar muzik tanah air.
Menurut Emeer, dia telah mula menyanyi sejak umur 10 tahun apabila menyertai pelbagai pertandingan karaoke di sekitar Pahang. Pada tahun 2007 ketika berumur 12 tahun, dia berjaya memasuki peringkat akhir program realiti di TV3, Mystarz LG musim pertama, dan merupakan peserta termuda.
“Kegagalan dalam MyStarz LG dapat ditebus pada tahun 2009 apabila saya menjadi juara pertandingan nyanyian di TV9, Oo La La,” cerita Emeer, atau nama sebenarnya, Mohd. Emeer Iskandar Mohd. Bakri.
Akhirnya, Emeer tidak lagi menyepi apabila baru-baru ini dia tampil dengan lagu tunggal pertamanya, berjudul Fantasia di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG), sekali gus kembali mewarnai industri muzik tanah air.
Justeru, Emeer yang kini berusia 27 tahun, mensyukuri peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan AEG, terutamanya pada Dato’ KK Chua, dan Zeileen Yusnita kerana mempercayai bakatnya sehingga menawarkan kontrak rakaman bersama-sama mereka.
Jelas Emeer, kemunculannya semulanya bermula selepas dia berjaya menjadi naib juara pertandingan pencarian bakat The Audition anjuran AEG pada tahun lalu. Di situlah bakatnya ditemui semula, tambah Emeer.
Emeer bukan hanya menjadi penyanyi profesional, malah merupakan penerbit muzik di AEG dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai kandungan berkaitan muzik.
Oleh sebab minat mendalam dan mahu mengejar cita-cita dalam bidang muzik, akhirnya Emeer nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Penghasilan Fantasia seolah-olah memberikan peluang kedua untuk dia menunjukkan kembali bakatnya kepada semua rakyat Malaysia.
“Lagu ciptaan komposer terkenal negara seperti Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves ini mampu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam menyampaikan sesebuah karya muzik,” ceritanya sambil memberitahu bahawa proses rakaman hanya berlangsung kira-kira dua jam sahaja di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara dalam suasana ceria dan tenang. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak ilmu yang ditimba ketika berada di dalam studio bersama-sama mereka yang profesional dan dihormati.
Mengambil masa durasi 3.55 minit, bait-bait awal Fantasia sahaja telah berjaya membawa pendengar bagaikan terawang-awang ke dunia lain. Korusnya yang santai ala easy-jazz mudah “ditangkap”, apatah lagi dengan “pukulan” vokal Emeer yang lunak dewasa, jauh berbeza daripada suara ciliknya yang biasa didengar dahulu.
Menurut Emeer, dia mahu dikenali sebagai seorang artis yang bukan sahaja boleh menyanyi, tetapi mampu menghasilkan karya sendiri, dan mempunyai perwatakan atau sikap yang baik.
“Saya percaya keistimewaan seseorang penyanyi terletak pada cara nyanyiannya yang menjadi penanda aras artis tersebut. Apabila didengar sahaja, sudah diketahui siapa yang menyanyi,” kata Emeer yang juga bersetuju untuk mencuba dengan genre yang lain pada masa akan datang.
Serentak dengan pengeluaran Fantasia, sebuah video muzik turut dilancarkan yang mengangkat tema fiksyen sains, dan jalan ceritanya yang agak berlainan pasti membuatkan ramai penonton tertanya-tanya.
“Menerusi video muzik Fantasia, saya menjadi anak Malaysia pertama yang masuk ke lubang hitam atau black hole. Kalau mahu tahu lebih lanjut, silalah tonton!” kongsi Emeer dalam nada teruja.
Fantasia juga merupakan lagu runut bunyi rasmi bagi drama Setelah Terlafaznya Akad 2 yang ditayangkan di Astro Ria bermula 1 Jun 2022 lalu pada jam 10 malam, di slot Mega Drama.
Fantasia boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan telefon menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan, serta boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Video muzik lagu tunggal ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran rasmi YouTube Armani Entertainment.