29 Jun 2022, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tamparuli – Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ke-45 tahun DBP Cawangan Sabah, program mendaki bukit yang dinamakan “Gema Semangat 66 Tahun DBP” di Bukit Perahu, Tamparuli Sabah telah diadakan pada 29 Jun 2022. Program ini disertai oleh 40 orang, termasuk karyawan DBP Cawangan Sabah, rakan penulis  Persatuan D’Bayu, rakan Munsyi Dewan dan rakan wartawan dari Sabahtaim.

Di kaki Bukit Perahu sebelum peserta program memulakan pendakian.

Program ini sebagai simbolik bergemanya semangat DBP selama 66 tahun dan DBP Cawangan Sabah selama 45 tahun dalam mencapai visi dan misinya. Aktiviti mendaki bukit merupakan aktiviti yang mencabar fizikal dan mental. Sepanjang pendakian, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh untuk sampai ke puncak. Hal ini sinonim dengan cabaran getir yang telah ditempuh oleh DBP selama 66 tahun penubuhannya demi memastikan bahasa kebangsaan terus terpelihara dan kekal sebagai tunjang negara.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dalam ucapannya menyatakan bahawa selain beriadah, program ini mampu mengeratkan silaturahim antara karyawan DBP Cawangan Sabah, penulis dan wartawan serta rakan Munsyi Dewan yang banyak membantu DBP dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera, khususnya di Sabah. Beliau turut menyatakan bahawa aktiviti sihat ini mengajak para pendaki berinteraksi dengan alam dan menyemai semangat cinta akan alam sekitar menerusi aktiviti mengutip sampah di sekitar Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah. Selain itu, aktiviti ini turut menyemarakkan semangat cinta akan bahasa dan sastera menerusi aktiviti deklamasi puisi di hentian dan puncak bukit.

Gimik penyerahan bendera DBP.

Pendakian ke Bukit Perahu dengan ketinggian 270 meter bermula pada pukul 7.45 pagi dan sampai ke puncak pada pukul 8.45 pagi. Di hentian pertama, aktiviti mendeklamasikan puisi disampaikan oleh penulis, Nurfidah Albari dengan tajuk puisinya, Bahasa Kita karya Abizai, dan Mohammad Hilmi Ismail dengan puisi ciptaannya sendiri bertajuk Dirgahayu Bahasaku.

Setibanya di puncak, gimik penyerahan dan kibaran bendera DBP oleh pembawa bendera kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, seterusnya bendera dipacakkan di puncak bukit. Di puncak bukit juga, karyawan DBP Cawangan Sabah yang diketuai oleh Puan Aminah, Encik Rayner J. Francis dan Puan Misyati Bakari telah mendeklamasikan puisi bertajuk Di Bawah Rimbun Merdeka karya Saladin Abdullah.

Deklamasi puisi oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar; Encik Rayner J. Francis; dan Puan Misyati Bakari.

Pada pukul 10.30 pagi, para peserta tiba di kaki bukit dan diteruskan dengan acara penyerahan sijil kepada semua peserta. Aktiviti ini sesungguhnya mengukuhkan semangat dan menambah penghayatan penubuhan DBP dan DBP Cawangan Sabah menerusi aktiviti riadah, seterusnya menghayati cabaran getir dan semangat juang para pejuang bahasa dalam mempertahankan bahasa sepanjang tempoh 66 tahun penubuhan DBP. Dirgahayu DBP!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.