Oleh Syaza Wardina
7 Julai 2022, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Pameran Dunia Naga: Mitos dan Legenda anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada 9 Jun hingga 30 Oktober 2022, Muzium Negara menganjurkan program Bicara@MuziumNegara pada pagi ini, bertempat di Dataran Muzium Negara.

Program bicara ini menyaksikan Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Wahiza Abdul Wahid dan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Azharudin Mohamed Dali sebagai pembicara. Sementara itu, Timbalan Pengarah Muzium Negara, Encik Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir bertindak sebagai moderator.

Menurut Encik Mohd Nasrulamiazam, kepercayaan terhadap naga masih wujud dalam kalangan masyarakat di serata dunia, malah dalam kebudayaan, teks kesusasteraan dan pada masyarakat Melayu sendiri ada kepercayaan terhadap kewujudan naga yang dikupas secara terperinci oleh pembicara dalam program ini.

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Wahiza Abdul Wahid.

Menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk “Naga dalam Apresiasi Seni”, Dr. Wahiza mengupas secara mendalam mengenai penggunaan motif dan elemen naga dari sudut kesenian. Kata beliau, “Naga ialah imej yang paling ikonik dalam seni fantasi.”

Naga mempunyai sejarah yang sangat panjang – dari era gangsa dan neolitik ke Dinasti Qing hinggalah hari ini.

Beliau kemudiannya mengupas secara terperinci mengenai sejarah, lukisan dan penggunaan unsur naga dalam dunia Barat, India, China, Jepun, Korea hinggalah ke rantau Nusantara.

Dalam setiap tamadun, naga digambarkan dalam pelbagai bentuk, seperti makhluk yang berkaki, berkepak, bersisik dan lidah bercabang. Naga digambarkan melalui penceritaan dan pengisahan yang berbeza-beza dan motif naga turut digunakan pada lukisan, pakaian, serta diukir pada dinding dan tembikar di hampir seluruh dunia.

Perbandingan ciri-ciri naga dalam karya seni.

Dr. Azharudin dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk “Menggarap Tradisi Ular-naga dalam Tradisi Melayu” pula menyebut, tiada sesuatu yang spesifik mengenai naga dalam pemikiran orang Melayu, tetapi yang ada hanyalah ular besar (giant snake).

Ular naga telah menjadi satu aspek sosiobudaya dan kesenian yang penting bagi sebahagian masyarakat di dunia sejak zaman silam hingga kini.

Ular-naga juga sering kali dikaitkan dengan kisah mistik haiwan bersaiz besar dan dipercayai mampu terbang serta mulutnya mengeluarkan api.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Azharudin Mohamed Dali.

Dr. Azharudin turut menerangkan ular-naga dari sudut tradisi Melayu. Namun begitu, menurut beliau, kisah naga tidak terhenti pada aspek tradisi semata-mata malah pernah menjadi sesuatu yang yang sensasi dan mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Sebagai kesimpulannya, dalam konteks tradisi Melayu, wujud campuran antara mitos, mistik dan sejarah dalam memahami kepercayaan dan kewujudan tradisi ular-naga. Ular-naga wujud dalam pemikiran, kesusasteraan mahupun dalam simbol dan perbuatan.

Yang turut hadir dalam program Bicara@MuziumNegara ini ialah mahasiswa dari UiTM dan UM serta masyarakat awam.

Muzium Negara beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Ahad, kecuali pada hari Isnin pertama setiap bulan, bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai muzium ini, orang awam bolehlah melayari laman web rasmi Muzium Negara menerusi pautan ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.