Oleh Syaza Wardina
17 Julai 2022, 20:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Perlis wajar cuba mempromosikan pengalaman mempelajari budaya, cara hidup masyarakat setempat, kepelbagaian makanan serta alam semula jadi untuk dipromosikan kepada pelancong dari Jepun yang datang ke utara Malaysia selepas ini. Walau bagaimanapun, aspek keselamatan serta kebersihan mestilah sentiasa dititikberatkan kerana difahamkan merupakan antara faktor utama pelancong Jepun membuat keputusan untuk memilih mana-mana destinasi pelancongan yang akan mereka kunjungi.”

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Tokyo, Ahmad Junaidy Yahaya.

Demikian saranan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah baginda selepas penyerahan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid As-Salaam Okachimachi di Taito, Taito-ku, Tokyo, bersempena dengan keberangkatan baginda ke Jepun, semalam.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs memberikan kesempatan kepada Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Tokyo, Ahmad Junaidy Yahaya yang juga seorang anak jati kelahiran Kampung Jejawi, Perlis bagi menyampaikan sumbangan MAIPs tersebut kepada Pegawai Pentadbir As-Salaam Foundation, Marjuk San, yang menerima bagi pihak masjid berkenaan.

Menurut Ahmad Junaidy, pihak Pejabat Tourism Malaysia di Tokyo sedang mempergiat usaha mempromosikan Malaysia di pasaran Jepun dengan mempelbagaikan aktiviti dan pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelancong mereka apabila berkunjung ke Malaysia.

“Langkah pemulihan pasaran sedang giat dilaksanakan bagi mengembalikan keyakinan pasaran Jepun untuk kembali memilih Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan utama,” tambah beliau.

Menurut Ahmad Junaidy lagi, di samping Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi dan Sabah yang menjadi destinasi pilihan utama pelancong yang bercuti di Malaysia sebelum ini, Perlis boleh turut dipromosikan khususnya kepada pelancong Jepun yang berhasrat datang ke Pulau Pinang dan Langkawi bagi menyahut titah saranan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis.

Sebagai rekod, Jepun merupakan antara pasaran pelancong utama Malaysia. Pada tahun 2019, pasaran Jepun menyumbang sejumlah 424 694 orang pelancong ke Malaysia dengan jumlah pendapatan sebanyak RM2.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 7.6 peratus bagi jumlah ketibaan pelancong dan 36.2 peratus bagi jumlah pendapatan pelancong berbanding pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia selepas itu telah memberikan kesan yang besar pada pasaran Jepun di Malaysia.

Yang turut berangkat bersama-sama DYTM Raja Muda Perlis ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.