Oleh Izzat Isa
3 September 2022, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pementasan teater semi muzikal kanak-kanak Payung telah berlangsung di Auditorium Panggung Seni Kota Mahsuri, Langkawi, Kedah pada 2 September 2022. Pementasan teater ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat dengan kehadiran lebih 200 orang.

Teater ini mengetengahkan isu penjagaan alam sekitar dan dipaparkan secara komedi bagi mendidik para penonton terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja.

Pementasan teater ini dibarisi pelakon kanak-kanak yang terdiri daripada Adam sebagai Doktor Ali, Echa sebagai Doktor Teja, Airill sebagai Mat, Zaid sebagai Deris, Hawa sebagai Gayah, Qis sebagai Kiah, Teja sebagai Pengemis Muda, Achu sebagai Pengemis Tua dan Tuah Adam sebagai Badut, Awie sebagai Luthfi dan Saiful Amir sebagai Orang Tua Misteri.

Manakala pasukan produksi pula terdiri daripada Cikgu Azahar sebagai pengurus produksi, Saiful Amir sebagai penolong pengarah, Natalia sebagai pengurus pentas dan Cikgu Yati sebagai pengurus panggung. Teater Payung dipentaskan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dan diarahkan oleh pengarah teater terkenal di Utara Malaysia, iaitu saudara Joe K.A.S.

Antara babak dalam teater Payung.

Pementasan teater Payung dipersembahkan khas oleh Morne Art Gallery dan merupakan sebahagian daripada pengisian sempena Langkawi Writers’ Festival yang berlangsung dari 1 hingga 4 September 2022. Selain pementasan teater, festival ini juga turut diisi dengan acara forum sastera, sesi bertemu penulis, pameran dan jualan buku, bacaan buku, tayangan filem, pelancaran buku dan deklamasi puisi. Acara ini mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Balai Seni Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Teater Payung mengisahkan tentang kehidupan pelbagai lapisan masyarakat yang menghadapi masalah hujan asid yang mengakibatkan kematian di sebuah kota yang dikenali sebagai Kota Metro Umbrella. Penduduk kota tersebut perlu melindungi diri mereka daripada bahaya hujan asid menerusi penggunaan payung pada setiap masa.

Oleh sebab masih belum ada penawar untuk merawat kesan hujan asid ini, maka Doktor Ali, Doktor Teja dan pembantu mereka yang bernama Luthfi bertungkus lumus berusaha mengkaji, mencari dan mendapatkan penawarnya. Walau bagaimanapun, segala usaha mereka menemui jalan buntu sehingga Doktor Teja mencadangkan supaya mereka mencari penawar menggunakan kaedah tradisional.

Teater Payung mengangkat isu alam sekitar sebagai fokus utama.

Seterusnya, mereka merancang untuk masuk ke dalam Hutan Terabak untuk mencari penawar hujan asid. Kelihatan banyak pokok-pokok dalam Kawasan Hutan Terabak telah layu dan mati akibat kesan hujan asid serta hanya tinggal sebatang pohon yang masih hidup segar menghijau. Di situlah mereka berjaya menemui penawar untuk wabak penyakit yang melanda.

Kemudian mereka kembali ke Kota Metro Umbrella dan berjaya menghasilkan penawar kepada wabak penyakit akibat kesan hujan asid. Doktor Ali dan rakan-rakannya mencadangkan agar seluruh masyarakat bersama-sama berganding bahu memelihara dan memulihara alam sekitar serta berharap semoga hujan tidak lagi berasid dan kehidupan mereka kembali sihat dan ceria.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.