14 September 2022, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pementasan teater Masahoro Opu Raja Siti (MORS) di Pentas Terbuka, Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September 2022 yang lalu merupakan prekuel bagi kisah tersebut yang dipentaskan pada beberapa tahun lalu.

Namun begitu, matlamatnya tetap sama, iaitu mengangkat dan menyerlahkan keunikan negeri Selangor menerusi sejarah istimewa Opu Raja Siti (Yang Dipertua Negeri Selangor), Raja Siti dan para pemerintah negeri Selangor pada zaman dahulu dalam pementasan teater terbuka dengan suntikan unsur bangsawan. MORS diarahkan oleh Sharul Nizam Samsuddin atau Sharul Titis yang juga merupakan penulis skripnya.

MORS membawa kisah sejarah negeri Selangor mengenai Opu Raja Siti, iaitu wanita pertama yang menjadi Yang Dipertuan Negeri Selangor pada sekitar tahun 1723 menerusi kesepakatan raja ataupun daeng bagi keturunan Bugis.

Pelantikan Opu Raja Siti dilaksanakan selepas kemangkatan kekandanya, Arong Pasarai, iaitu Yang Dipertuan Negeri Selangor yang pertama. Walau bagaimanapun, pelantikan beliau ditentang hebat oleh Daeng Matteko kerana dendam dan kuasa.

Daeng Matteko (kanan) sedang berpakat mengatur strategi jahat dengan Laksamana Bara (kiri).

MORS anjuran Majlis Teater Negeri Selangor (MTS) menambah pengetahuan masyarakat tentang latar belakang sejarah negeri Selangor, menggalakkan penyelidikan sejarah daripada institusi pendidikan tinggi serta mempromosikan pelbagai tempat pelancongan di Shah Alam, Selangor.

Dari aspek lakonan, Sifu Najib berjaya membawa watak Daeng Matteko dengan berkesan walaupun sentiasa ketawa selepas bertutur yang dianggap klise bagi watak antagonis, namun gerak tubuh dan mimik wajahnya amat meyakinkan.

Lakonan Amirah Razak sebagai Opu Raja Siti juga mendapat sambutan hangat para penonton. Beliau beraksi agak cemerlang dalam babak silat dengan Marani (Dayang Norinah), dan Daeng Matteko meskipun mengakui gentar pada peringkat awal untuk melakukan aksi lasak sedemikian. Manakala pelakon veteran yang sinonim dengan watak antagonis, iaitu Shah Farid Zain tiada sebarang kesukaran menjayakan peranan protagonis, iaitu Guntang, pembantu kepada Opu Raja Siti.

Kesimpulannya, teater MORS bermanfaat untuk menyemarakkan industri seni teater menerusi pementasan terbuka yang mampu memperkasakan warisan budaya negeri Selangor serta memberi peluang dengan membuka platform kepada penggiat seni teater dan pertubuhan bukan kerajaan seni budaya negeri untuk menyumbang kepada negeri dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan.

Di samping itu, pementasan teater turut menyumbang dalam mengimbangi kepesatan Revolusi Industri 4.0 setara dengan pembangunan seni persembahan melalui program-program pementasan teater yang menggunakan unsur pementasan bangsawan serta pengaplikasian teknologi dan latar alam semula jadi dalam kerja-kerja pementasan.

Bahkan, program kebudayaan seperti ini mampu mengetengahkan karya-karya seni pementasan teater yang berpotensi memberi nilai tambah kepada pengetahuan masyarakat, kesedaran nilai sejarah dan menggalakkan pengembangan pengetahuan dan penyelidikan dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

Pementasan MORs bermula pukul 9 malam dengan bayaran RM20. Pementasan teater ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor serta Band Kelab KILAT TNB (pengarah muzik) sebagai rakan strategik dengan dijayakan oleh 32 orang tenaga produksi, 42 orang pelakon dan penari serta lapan orang pemuzik.

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Rahim Kedol sebagai Toba, Idan Shahril (Kendi), Anwar Rudini (Tunggal), Taha Muhammad (Daeng Masuro), Azmie Daim (peniaga), Jamaludin (Daeng Monompok), Hazley (Daeng Parani) dan Fateh (Daeng Lakani).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.