15 September 2022, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Narapidana atau banduan adalah mereka yang terperangkap. Konteks terperangkap ini boleh dipakai oleh semua pihak sama ada baik atau buruk, bahagia atau murung, besar atau kecil. Melalui drama Narapidana karya Haire Che Ros, para banduannya turut dikalung rantai perangkap. Namun mereka berasa tidak sepatutnya berada dalam penjara itu.

Persoalan yang dicipta daripada karya Haire itu tidak menyangkal kewujudan akta-akta dan sistem korup yang boleh meletakkan unsur ambiguiti pada stigma banduan itu sendiri, malah menguatkan lagi dinding realiti akan implikasi sistem ciptaan manusia. Melalui warga kem tahanan Kem Luak Berundang (kem tahanan fiksyen rekaan pengarang), unsur-unsur takdir, nasib, kewarasan, sejarah, setia dan pengkhianatan dalam kem-kem tahanan yang serupa disampaikan pementasan teater Narapidana.

Dengan Adiit Seketika sebagai pengarah, Narapidana akan dipentaskan pertama kalinya di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 16 hingga 18 September ini. Himedia merupakan produksi utama dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) sebagai penganjur pementasan teater ini. Naskhah ini juga tercipta hasil inspirasi daripada kes-kes banduan yang didokumentasikan SUARAM.

Barisan pelakon teater Narapidana.

Menurut Azura Nasron daripada SUARAM, pementasan teater ini menguatkan lagi sentimen solidariti yang memerlukan perjuangan SUARAM dan kita untuk bersama-sama menuntut keadilan buat golongan yang memerlukan.

SUARAM turut terlibat dengan kes-kes banduan yang mempunyai konflik dalam tahanan, sama ada melalui penerimaan surat-surat atau pendokumentasian kes-kes mahkamah. Namun adaptasi teater Narapidana berjaya menimbulkan sentimen baharu yang lebih realistik.

Pada tahun 2013, SUARAM pernah mementaskan teater dengan isu yang sama. Pementasan teater pada tahun 2022 ini turut berdiri sebagai satu kenyataan, walaupun setelah hampir satu dekad, isu yang sama masih tidak bungkam. Realiti tersebut akan dipaparkan dalam pementasan teater Narapidana pada malam Hari Malaysia tahun ini.

“Berdasarkan skrip, pada awalnya saya berasa karya ini agak sukar untuk dipersembahkan sebagai pementasan teater kerana wataknya yang kompleks dan visualnya memerlukan penelitian yang tinggi, terutamanya untuk memastikan mesej teater tersebut sampai kepada masyarakat. Justeru, langkah yang lebih proaktif dan lebih teliti dilaksanakan dalam mengarah babak-babak lakonan mengikut dinamik watak-watak yang terdapat dalam karya,” ujar Adiit Seketika, Pengarah teater Narapidana.

Dinamik gandingan antara beberapa watak secara esennya menguatkan lagi cerita dan mengukuhkan garisan naratif yang akhirnya dapat berdiri sebagai satu naskhah yang lengkap.

“Aidit Seketika sebagai pengarah teater sememangnya berjaya merealisasikan skrip drama saya menjadi kenyataan. Saya mengambil kes-kes sebenar sebagai inspirasi cerita untuk memberi kesedaran kepada penonton di samping memaparkan sisi gelap dalam penjara dan sistem undang-undang,” ujar Haire Che Ros.

Teater Narapidana menampilkan Sis Aini, Fazleena Hishamuddin, Aidil Rosli, Aizuddin Rosli, Ozzy Nurin, Izhar Azree, Nicole Jay dan Deeka sebagai pelakon peneraju.

Secara umumnya, teater Narapidana dipersembahkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan isu-isu yang berlaku dalam kem tahanan. Teater ini akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre pada 16 hingga 18 September ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.