19 September 2022, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan pementasan teater syair Setanggi Ratna Inderapura, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sastera telah mengusahakan penerbitan skrip teater syair yang ditulis oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir.

Buku yang memuatkan skrip teater dan rangkap syair ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat (YB) Datuk Zahidi Zainul Abidin pada 17 September 2022, iaitu sebelum berlangsungnya persembahan teater tersebut. Dalam ucapannya, YB Datuk Zahidi menzahirkan rasa bangga kerana buat julung kalinya, naskhah berbentuk skrip teater dan syair digabungkan dan didokumentasikan dalam bentuk buku sebagai usaha untuk melestarikan teater dan syair.

“Usaha yang baik ini diterajui oleh Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Syabas Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sentiasa berusaha menjadi pengemudi dalam melestarikan khazanah negara, khususnya dalam hal berkaitan dengan persuratan dan kesusasteraan Melayu,” demikian ucapan YB Datuk Zahidi yang turut berterima kasih kepada DBP atas kerjasama menjayakan pementasan teater syair.

Sempena pelancaran buku itu juga, DBP mengadakan jualan buku, termasuklah buku yang dilancarkan dengan diskaun 25 peratus. YB Datuk Zahidi turut mengunjungi meja jualan buku DBP dan membeli naskhah Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura, termasuk beberapa buku lain terbitan DBP.

Pelancaran buku oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Dalam sidang media setelah tamat persembahan teater syair, YB Datuk Zahidi menyatakan kementeriannya akan membawa teater syair Setanggi Ratna Inderapura ke layar filem. “Dengan adanya buku yang kita lancarkan malam ini, usaha mengangkatnya menjadi filem akan lebih mudah. Saya juga melihat kisah kehebatan serikandi Sultanah Pahang, Raja Ungu menentang Siam seperti yang ditonjolkan dalam teater ini cukup menarik. Selain itu, teater ini juga mengetengahkan syair dan nazam, suatu khazanah seni budaya yang seharusnya dilestarikan, malah perlu diperkenalkan ke peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, saya akan mengikhtiarkan agar teater ini difilemkan. Malah saya akan ke Thailand dan cuba berbincang dengan pihak produksi di sana tentang kerjasama pembikinan filem yang menonjolkan seni dan budaya, selain sejarah negara kita yang berkaitan dengan hubungan Tanah Melayu dan Siam suatu ketika dahulu,” demikian kata YB Datuk Zahidi tentang hasratnya mengangkat teater Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem.

Selaku penulis buku, Syahidatul Munirah menyatakan skrip teater syair yang dikarangnya adalah berdasarkan inspirasi daripada Hikayat Patani. Memetik tulisannya dalam Facebook, “Saya mengulit Hikayat Patani dari kulit ke kulit kerana Hikayat Patani merupakan kajian disertasi Sarjana saya. Saya terfikir, kisah Raja-Raja Perempuan Patani yang terdapat dalam Hikayat Patani perlu dibawa ke pentas. Sejarah yang terkandung dalam Hikayat Patani perlu ditampilkan secara visual, bukan sekadar dalam kertas kajian atau tulisan, supaya semangat juangnya dapat dirasai oleh generasi kini.”

Syahidatul turut gembira kerana apa yang diusahakan itu, kini didokumenkan dalam bentuk buku. Daripada buku tersebut, penggiat teater atau peminat syair malah pencinta seni dan budaya tradisional tanah air dapat merujuk bentuk penulisan skrip teater dan penulisan bait syair yang semuanya dikarang sendiri oleh Syahidatul.

Serentak dengan pelancaran buku, YB Datuk Zahidi turut merasmikan persembahan teater syair Setanggi Ratna Inderapura yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Turut berada di pentas dalam pelancaran gimik buku Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa UUM, Profesor Madya Dr. Hishamudin Isam, Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Encik Mohd. Aqi Mohd. Azmi, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani Henry dan Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir selaku penulis buku dan pengarah teater.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.