Oleh Mubarak Ismail
1 Oktober 2022, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Melaka ­­– Majlis Bicara Karya dan Pelancaran Buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei bersempena dengan Pesta Buku Melaka telah berlangsung pada 30 September 2022 (Jumaat) pada pukul 2.30 petang hingga 5.00 petang di Pentas Utama, The Shore Shopping Gallery, Bandar Melaka, Melaka.

Buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei diterbitkan oleh DBP pada tahun 2022.

Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar. Majlis tersebut turut diserikan dengan bicara karya yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Encik Zuhir Haji Saari (U-Wei), pengarah filem dan Encik Mohd Shah Ibrahim selaku penulis buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei. Manakala moderator yang menjayakan bicara karya pula ialah Encik Ismail Ahmed (Adiwangsa Sukma).

Menurut Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat dalam ucapan alu-aluannya, walaupun pelancaran buku ini dalam keadaan yang sederhana, namun karya buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei yang diterbitkan oleh DBP ini sangat istimewa bagi beliau kerana U-Wei merupakan seorang seniman yang prolifik dalam bidang perfileman di samping buku ini ditulis oleh sahabatnya yang sangat rapat.

Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat sewaktu sedang berucap.

Tambah beliau lagi, buku ini sesuatu yang sangat istimewa kerana apabila dibaca, masyarakat dapat menyingkap rahsia di sebalik isi yang tersurat dan tersirat dalam karya ini.

“Seorang penulis akan berasa gembira dan bangga apabila setiap karya yang dihasilkannya berjaya diterbitkan. Rentetan itu, penulis akan berasa puas apabila karya dan buku mereka dilancarkan dan dibaca oleh masyarakat,” ujar Tuan Haji Razali.

Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar sewaktu merasmikan pelancaran buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei.

Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata, demi memartabatkan keagungan sejarah negara di persada dunia, beliau dalam perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan U-Wei, Syamsul Yusof yang juga seorang pengarah filem dan para tokoh ilmuwan sejarah tanah air untuk menghasilkan dan memperkasakan filem-filem berunsur patriotik serta menjulang warisan, budaya, tamadun dan peradaban Malaysia.

“Buku ini boleh dijadikan sebagai panduan dan bimbingan untuk para pengamal dan penggiat filem, peminat filem, para tokoh ilmuwan, generasi muda dan masyarakat untuk belajar dan mengetahui lebih lanjut tentang ilmu perfileman dan industri filem tanah air,” ujar YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff.

Encik Mohd Shah Ibrahim sedang memberikan penjelasan.

Sementara itu, Encik Mohd Shah Ibrahim menjelaskan bahawa buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei merupakan himpunan anekdot pengalaman beliau mengenai satu-satunya sutradara yang rapat dengan beliau serta mengandungi serba sedikit tentang pengalamannya dalam dunia filem.

“Saya melihat U-Wei sebagai seorang born director yang hidup untuk membikin filem dan bukan membikin filem untuk hidup. Pertama kali bertemu dengan beliau pada tahun 1988, sejak awal lagi saya dapat mengesan pemikiran seorang intelektual filem yang dimiliki U-Wei,” kongsi Encik Mohd Shah Ibrahim.

Encik Zuhir Haji Saari (U-Wei) sedang memberikan penerangan.

Jelas U-Wei pula, kejayaan dan pencapaian beliau pada hari ini bukanlah hanya semata-mata usaha beliau seorang diri, sebaliknya dengan bantuan, sokongan dan dokongan rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menghasilkan pelbagai karya yang berkualiti demi memartabatkan industri filem negara.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, Encik M Azahari Edin. Selaku bahagian yang menangani penerbitan buku tersebut, Encik M Azahari berharap agar lebih banyak karya tentang dunia perfileman dapat diterbitkan untuk mengangkat karya dan filem yang menjadi klasifikasi penting industri kreatif Malaysia seterusnya menampilkan karisma mereka yang terlibat dalam dunia perfileman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!