2 Oktober 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Menyambung perjuangan Tokoh Seni Dondang Sayang, Nyonya Tan Abdullah, anakanda Allahyarhamah, iaitu Hairul Asraf Abu Hussain dan Hidayu Murni Abu Hussain yang dikenali sebagai kumpulan Legasi Nyonya Tan, menepati ramalan muncul sebagai Juara Pertandingan Akhir Dondang Sayang Negeri Melaka. Dua beradik ini membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6000, trofi dan sijil penghargaan pada pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Panggung Sari, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Ayer Keroh, Melaka semalam.

Pertandingan Dondang Sayang Negeri Melaka ini dianjurkan oleh MELAKAfm dan pasukan penerbitan RTM dengan kerjasama rakan strategik seperti Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), JKKN Melaka, dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Turut bekerjasama dalam menjayakan pertandingan ini adalah radio Klasik FM dan Nasional FM, Dataran Pahlawan Melaka Shopping Mall, Hotel Seri Malaysia dan Hotel Kobemas Melaka.

Seramai empat pasangan telah bertanding bagi merebut kejuaraan. Naib Juara dimenangi kumpulan Ear Mon yang dibarisi Hamir Haziq Haminorddin dan Siti Nadia Zaini dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000, trofi dan sijil penghargaan. Tempat ketiga dimiliki kumpulan Detaq yang diwakili Yasser Fikri Abu dan Shaidatul Nadira Shaharum dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3000 beserta trofi dan sijil penghargaan. Manakala kumpulan Nada Irama yang dibarisi Syaimaa Salleh dan Norsharfarina Mohd Fahmi dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000, trofi dan sijil penghargaan.

Legasi Nyonya Tan sebagai Juara Pertandingan Akhir Dondang Sayang Negeri Melaka 2022.

Keputusan pertandingan dibuat oleh barisan juri berpengalaman yang diketuai Encik Mohd Rusmadi Mohd Ramli, Pemuzik Kanan dan Pembimbing Orkestra RTM; Datuk Mohd Baharim Md. Sharip, Tokoh Dondang Sayang dan Tokoh Warisan Orang Hidup (WAKOH); Syed Indra Syed Omar (Siso), penulis lirik, karyawan seni dan penyanyi; Encik Muhamad Syukor Ibrahim, Dekan Fakulti Muzik ASWARA dan Puan Norliza Md Yamin, Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka.

Hadiah pertandingan disampaikan oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Tuan Ngwe Hee Sem yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka.

Pertandingan Akhir Dondang Sayang Negeri Melaka ini dikendalikan oleh DJ Fazz dan Aril Pilus sebagai pengacara. Antara artis undangan yang membuat persembahan ialah Ramlah Ram, Liza Hanim dan Haziq Rosebi. Siaran langsung acara ini ditayangkan pada saluran televisyen TV2 dan laman Facebook rasmi MELAKAfm.

Antara artis jemputan yang hadir membuat persembahan.

Dondang Sayang adalah sejenis nyanyian yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka. Dondang bermaksud nyanyian, manakala Dondang Sayang membawa maksud nyanyian mengulit kasih.

Melabuhkan tirai pertandingan, program seni budaya ini telah menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat untuk mengenali khazanah warisan Melaka sama ada yang menonton secara langsung atau menerusi kaca televisyen. Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk melestarikan pergerakan seni budaya dan persembahan.

Turut hadir menyerikan majlis ialah tetamu kehormat seperti Dato’ Haji Che Roslan Che Daud, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia; Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah JKKN; Puan Nor’ain Haji Bakir, Pengarah Bahagian Program Radio; Encik Mohd Yusni Mohamed Ali, Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka dan Cik Ezlina Alias, Pengarah JKKN Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.