Oleh zaadee
7 Oktober 2022, 08:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Sidang Media teater Nyonya telah diadakan pada 6 Oktober 2022 (Khamis) pada pukul 2.30 petang di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Teater Nyonya akan dipentaskan pada 15 dan 16 Oktober 2022 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang dengan harga tiket RM30 dan RM50.

Pementasan teater Nyonya merupakan pementasan kali kesembilan yang dianjurkan oleh Gagasan Anak Seni (GAS), CTRA Production & Ardi Bridal dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri (JKKN) Pahang serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Nyonya mengisahkan seorang wanita kaya yang digelar Nyonya harus “berperang” dengan Tuan, iaitu seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat. Tuan berkali-kali berkunjung ke rumah Nyonya. Pelbagai cara dan muslihat digunakan untuk mendekati Nyonya, lebih-lebih lagi selepas mendapat tahu suami Nyonya yang sudah tua terlantar di hospital akibat penyakit kanser lidah.

Barisan pelakon teater Nyonya.

Muslihat terakhir Tuan adalah mengatakan lutut Nyonya akan membengkak dan berdarah jika Nyonya terus berdiri. Lalu dia mahu Nyonya duduk dan berbaring bersama-samanya di atas katil. Pada masa yang sama, Nyonya sering didatangi tiga anak saudara perempuan sebelah suaminya, iaitu Anggun, Beautiful dan Cantik yang ingin menuntut harta pusaka.

Mereka menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan harta berkenaan sehingga mahu saling berbunuhan. Pada masa yang sama, perangai Tuan yang banyak muslihat itu mula dikesan dan disedari oleh isterinya, Comel.

“Kami pilih hotel sebagai lokasi pementasan teater bagi memberi sedikit kelainan pada teater ini. Tambahan pula, ruangan hotel boleh memuatkan seramai 700 orang penonton. Kami menjangkakan seramai 2800 penonton akan hadir menyaksikan teater ini memandangkan harga tiketnya yang mampu milik dan selesa,” kata Siti Rohaya Atan selaku penerbit teater Nyonya.

Siti Rohaya Atan, penerbit teater Nyonya.

Teater Nyonya mendapat sentuhan Dr. Rosminah Tahir sebagai pengarah, Siti Rohaya Atan sebagai penerbit, dan dinaungi oleh Dato’ Sri Hajah Shahniza Shamsuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.

Manakala koreografer teater ini ialah A. Aris A. Kadir dan penulis skrip ialah Allahyarham Profesor Wisran Hadi. Antara para pelakon yang membintangi teater Nyonya ini ialah Zera Hariz, Eyzendy Aziz, Liza Abdullah, Vanidah Imran, Ziela Jalil dan Deera Amin.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.