Oleh Mubarak Ismail
16 Oktober 2022, 22:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia mengadakan Majlis Penutup Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 yang bertempat di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur. Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC). Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menyempurnakan Majlis Penutup Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022.

Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 merupakan kolaborasi strategik yang julung-julung kali diadakan antara Kraftangan Malaysia dengan KPDNHEP. Inisiatif melalui kerjasama dengan KPDNHEP ini secara langsung dapat membantu para usahawan dan komuniti kraf untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna. Hal ini juga dapat menyemarakkan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia yang sedang giat dijalankan oleh KPDNHEP. Program ini mula berlangsung dari 10 hingga 16 Oktober 2022 dengan penglibatan seramai 30 orang usahawan dan komuniti kraf.

Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik seperti Pameran MYCRAFTSHOPPE, Pameran Kempen Ini Batik Malaysia, jualan produk kraf, interaktif kraf, pertandingan seni kreatif, persembahan kesenian dan permainan rakyat.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC, Puan ‘Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta para pegawai kanan kementerian dan agensi-agensi di bawah MOTAC.

MOTAC berharap rakyat Malaysia terus menyokong dan membeli produk keluaran tempatan bagi membantu para usahawan kraf meningkatkan pendapatan dan sekali gus dapat memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.