Oleh Mubarak Ismail
21 Oktober 2022, 23:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Majlis Perasmian Aksara Caklempong 2022 telah berlangsung pada 21 Oktober 2022 (Jumaat) pada pukul 3.00 petang hingga 5.30 petang di Bilik Seminar ICC, Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program anjuran Andeka Caklempong UIAM ini dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pusat Pembangunan Kelestarian Seni dan Budaya UIAM (CiTRA), Roslimna Mohmmed Saad. Majlis tersebut turut diserikan dengan program bicara Wacana Caklempong yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Yuzaimuddin Md Yusof, Penggiat seni dan Ikon Caklempong dan Zamzahardi Mohamad Zambrin dari Istana Budaya yang juga seorang pengurus artistik. Manakala moderator yang menjayakan wacana ini pula ialah Muhammad Naqib Nauphal Mohd Phaizal daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Penggiat seni caklempong, Yuzaimuddin Md Yusof yang mesra dengan nama panggilan Pak Yuzi yang juga merupakan Ikon Caklempong berkata, kesenian tradisional caklempong itu mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri serta memerlukan lonjakan untuk diangkat ke peringkat antarabangsa. Selain itu, caklempong juga mempunyai banyak persamaan dengan piano atau sita dan tabla yang terkenal di seluruh dunia.

Yuzaimuddin Md Yusof sedang memberikan penerangan kepada para peserta yang hadir.

“Mengapakah caklempong sukar untuk mendapat pengiktirafan dan prestij yang sewajarnya? Sewaktu saya membuat persembahan di Eropah, Jepun dan Asia Barat, masyarakat di sana berasa amat kagum dengan keunikan warisan kesenian caklempong dari Malaysia. Bahkan, sambutan dan sokongan yang diterima berkaitan caklempong amat memberangsangkan,” ujar Yuzaimuddin.

Sehubungan dengan itu, Yuzaimuddin mengambil inisiatif mengajar generasi muda terutama pelajar sekolah rendah di sekitar Negeri Sembilan tentang caklempong dalam dunia muzik tradisional supaya dapat melahirkan generasi pewaris warisan caklempong pada masa akan datang.

“Saya menyeru kepada masyarakat terutama penggiat seni muda supaya tidak sembarangan mencampuradukkan elemen moden dalam persembahan muzik tradisional khususnya caklempong demi menjamin nilai-nilai keaslian caklempong yang perlu dipelihara dan dipertahankan,” jelas Yuzaimuddin.

Tambah beliau, caklempong masih mendapat sokongan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan, bahkan turut mendapat sambutan di negeri-negeri lain merangkumi acara persembahan perkahwinan, mengiringi kunjungan para pembesar negeri serta mengiringi nyanyian, tarian dan aktiviti pencak silat.

Menurut Zamzahardi pula, caklempong merupakan alat muzik tradisional bangsa Melayu yang tergolong dalam keluarga gong namun bersaiz kecil. Caklempong diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan. Perkataan “caklempong” juga digunakan untuk menerangkan jenis dan kaedah pembuatannya.

Zamzahardi Mohamad Zambrin memberikan penjelasan tentang caklempong.

“Caklempong mula berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan yang berasal dari Minangkabau atau Sumatera Barat, Indonesia. Kini kesenian muzik caklempong bertapak kukuh di negeri-negeri lain. Di samping itu, warisan caklempong ini sesuai dipersembahkan untuk pelbagai acara berkaitan kebudayaan, warisan dan tradisi, merangkumi acara rasmi kerajaan atau bukan kerajaan, adat istiadat, majlis perkahwinan, sambutan, pencak silat dan sebagainya,” jelas Zamzahardi.

Zamzahardi turut menyatakan bahawa caklempong pacik merupakan satu cara, kaedah atau teknik permainan caklempong. Bonang caklempong dipegang dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memalu atau mengetuk bonang yang dipegang itu.

Tambah Zamzahardi lagi, para pemuzik caklempong pacik akan memainkan irama ataupun corak ritma yang ditetapkan bergantung pada jenis lagu. Seterusnya irama caklempong akan disusuli dengan alunan gendang tambua dan pupuik sebagai pemain melodi.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Syazana Darawin dari ASWARA yang merupakan jurulatih Andeka Caklempong UIAM dan Muhammad Zuhri Imran Azhar, Penolong Pengurus Program Aksara Caklempong 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.