Oleh Mubarak Ismail
23 Oktober 2022, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Tarian, Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya (UM) serta Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bekerjasama menganjurkan Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada malam 21 Oktober 2022.

Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis ini merupakan sebahagian daripada siri Pameran Seni Tradisional 2022 (Panggung Seni Tradisional 2022) yang ditaja oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (MOTAC) dan disokong oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Acara ini turut dihadiri dan disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis disambut oleh Profesor Dato’ Ir. Mohd Hamid Abd Shukor, Naib Canselor UM; Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah UM serta Ketua Pengarah JKKN, Haji Mesran Mohd Yusop.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama para penggiat seni yang menjayakan Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis.

Persembahan Restorasi Terinai Perlis turut menghimpunkan pelbagai bentuk terinai dalam satu persembahan melalui bimbingan artistik pakar terinai, Dr. Zamin Haroon di samping persembahan tarian yang menggabungkan syarahan, demonstrasi, dialog, dan persembahan audio visual untuk memperkaya pengalaman menonton. Keunikan kepelbagaian persembahan ini bukan sahaja menjadi satu bentuk hiburan bagi pencinta seni, bahkan turut menjadi program pendidikan untuk seluruh masyarakat.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Ketua Pengarah JKKN, Haji Mesran Mohd Yusop.

Persembahan Restorasi Terinai Perlis juga merupakan usaha sama antara pelbagai pihak merangkumi Fakulti Seni Kreatif UM, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), JKKN serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Persembahan terinai turut diiringi dengan alunan muzik secara langsung oleh orkestra Gendang Keling yang diketuai oleh pakar muzik, Amil Senapi.

Antara babak yang dipersembahkan dalam persembahan Restorasi Terinai Perlis.

Selain itu, Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis turut menonjolkan pameran terinai tertua dan menjejaki era evolusinya dari tahun 1900-an hingga tahun 2022 yang merangkumi lapan himpunan terinai lama yang dibina semula dan lapan terinai ciptaan tradisional, iaitu Terinai Mengadap dan Selom, Terinai Layang Mas, Terinai Dudui, Terinai Dewa Raja, Terinai Ketam Bawa Anak, Terinai Putra Mahkota, Terinai Sri Indera serta Inang Jawa dan Bertabuh.

Para penari sedang mempersembahkan gerakan-gerakan terinai dalam persembahan Restorasi Terinai Perlis.

Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis berlangsung selama dua hari, iaitu bermula 21 Oktober hingga 22 Oktober 2022 dan hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Pengiat Seni (KWAKKPS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.