16 November 2022, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan lawatan daripada Pustaka Negeri Sarawak sebagai usaha agensi tersebut mendapatkan maklumat tentang proses mengangkat dokumen warisan tempatan ke peringkat antarabangsa. Delegasi Pustaka Negeri Sarawak tersebut diketuai oleh Encik Wan Mazli Wan Razali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Sekretariat Memory of the World (MoW) Sarawak.

Antara ahli delegasi yang turut hadir termasuklah Encik Vincent Jinap, Ketua Sektor Perkhidmatan Depositori, Encik Izaruddin Moss, Ketua Bahagian Sarawakiana, Encik Ahmad Shamsudin, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Puan Nur Amanina Mastani, Ketua Bahagian Sarawakiana, Puan Dayang Nur Syima Awang Adrus, Ketua Unit Koleksi Khas, Encik Musa Ayub, Ketua Bahagian ICT, Encik Aldrin John, Pegawai Jabatan Muzium Sarawak, Puan Rebecca Richard, Pegawai Jabatan Muzium Sarawak, dan Dr. Ipoi Datan, Pegawai Majlis Adat Istiadat Sarawak.

Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP (tengah) sedang berbincang dengan Encik Wan Mazli Wan Razali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Sekretariat Memory of the World (MoW) Sarawak (kanan).

Lawatan tersebut diadakan bertujuan untuk mendapatkan perkongsian daripada DBP yang pernah mencalonkan koleksi manuskrip Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang mendapat pengiktirafan sebagai karya agung warisan dunia dalam Memory of The World International Register oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2001, dan manuskrip Kitab Ilmu Bedil yang diiktiraf sebagai Memory of The World UNESCO Asia and The Pacific pada tahun 2016.

Pertemuan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Arasa 30, Menara DBP itu diketuai oleh Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang mewakili Ketua Pengarah DBP. Dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Haji Md Johari Hasan merakamkan penghargaan atas kesudian pihak Sekretariat MoW mengunjungi DBP, dan DBP bersedia untuk membantu dan memberikan maklumat yang diperlukan oleh Sekretariat MoW.

Tuan Haji Md Johari Hasan menyampaikan cenderamata kepada Encik Wan Mazli Wan Razali.

Menurut Encik Wan Mazli, Sekretariat MoW yang ditubuhkan pada tahun 2019 dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti dokumen warisan tempatan yang terdapat dalam Sarawak untuk dicalonkan ke MoW peringkat kebangsaan. Hingga kini, Sekretariat MoW memiliki 17 manuskrip tulisan Jawi sekitar tahun 1800-an yang diperoleh secara belian dan derma daripada individu. Walaupun begitu, sebahagian daripada manuskrip tersebut masih belum mempunyai penyelidikan sokongan.

Dalam pertemuan tersebut, Encik Nik Aman Nik Yusoff, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu DBP, turut memberikan penerangan ringkas tentang proses yang perlu dilalui untuk mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO. Menurut Encik Nik Aman, terdapat pelbagai faktor yang dilihat oleh pihak UNESCO untuk mengiktiraf sesuatu dokumen, antaranya termasuklah asal dan ketulenannya. Oleh sebab itu, setiap dokumen warisan yang dicalonkan perlu melalui penyelidikan secara mendalam sebagai sokongan dan bukti keaslian.

Encik Nik Aman Nik Yusoff, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), menunjukkan cara penyimpanan manuskrip dan dokumen di PDM kepada delegasi Sekretariat MoW.

Pertemuan tersebut diteruskan dengan lawatan pihak Sekretariat MoW ke Pusat Dokumentasi Melayu untuk melihat dengan lebih dekat koleksi manuskrip yang terdapat di DBP, di samping mendapatkan maklumat tentang pengurusan manuskrip, seperti cara penyimpanan dan pemuliharaan manuskrip.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.