22 Disember 2022, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sebanyak 22 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, berusia antara enam hingga 14 tahun telah menyertai Bengkel Teater Kanak-kanak yang diadakan di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPANK), Jalan Kolam Air, Alor Setar, Kedah.

Pendedahan tentang asas ilmu teater perlu diberikan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mendalami seni persembahan teater dengan baik.

Bengkel anjuran Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama PPANK adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta perihal teater kanak-kanak. Bengkel tersebut diadakan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang.

Setiausaha PENTAS, iaitu Mohd Zulkamal Ismail mengatakan bahawa pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada golongan kanak-kanak dan remaja untuk menyertai bengkel ini yang secara tidak langsung dapat memberikan ilmu pengetahuan berkaitan dengan teater kepada mereka.

Bagi kanak-kanak atau remaja yang berminat untuk menyertai seni teater, mereka seharusnya mendalami asas ilmu teater terlebih dahulu agar mereka dapat memahami dan mengetahui tentang teater kanak-kanak.

PENTAS sebagai persatuan yang menggerakkan seni teater ini sangat memerlukan pelapis yang mempamerkan keberanian dan mempunyai keyakinan terhadap apa-apa yang mereka persembahkan. Hal ini penting kerana setiap persembahan yang diusahakan oleh PENTAS merupakan sebuah program terbaik yang bertujuan untuk mengetengahkan bakat baharu yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

Puan Nur Shahila Hashim menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.

Pada akhir bengkel ini, para perserta diberikan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ketua Sektor Bahagian Perkhidmatan dan Maklumat PPANK, iaitu Puan Nur Shahila Hashim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.