Oleh Lim Swee Tin
30 Januari 2023, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Itupun sudah dibakukan sedikit, Duan singkatan daripada Ridhuan dalam sebutan Kelantannya adalah “Due”. Nago Bogho ini nama julukan kepada mereka yang keras hati, bersikap kasar dan juga berani. Nama Nago Bogho diambil daripada sifat ular berbisa yang kononnya mendiami paya-paya dan tatkala menentang musuhnya mampu menyemburkan bisa. Akan bentuk ular yang besar itu umum menggelarnya naga.

Poster filem Duan Nago Bogho.

Kiasan kepada sifat dan sikap susuk Ridhuan ini dibina Sabri Yunus menerusi naskhah terbaharunya yang kemudian diangkat menjadi filem. Duan adalah anak muda yang pada dasarnya menceburi kesenian makyung yang kononnya adalah warisan daripada sebelah ayahnya. Sementara sisi yang lain, Duan seorang yang gemar bergaduh dan hal ini diambil daripada sebelah ibunya, yakni bapa saudaranya.

Tiba pada suatu ketika akibat satu pergaduhan yang terjadi sedang Duan beraksi selaku peran makyung dalam persembahan, ayahnya memutuskan Duan harus meninggalkan kampung sebelum makyung rosak dan dicemuh orang, kata ayahnya. Sehingga tahap ini, pengenalan naskhah Sabri Yunus ini sudah mula boleh disorot.

Peran ialah pelakon yang memainkan peranan pembantu kepada Pakyung dengan watak tipikal orang kampung dari segi berbusana dan langgam tutur katanya, akan tetapi kemas dan rapi dalam bahasa komunikasi dengan Raja (Pakyung). Perkara kedua ialah tentang pergaduhan. Pergaduhan ini terjadi yang seakan-akan tiada sangkut-paut pun dengan Duan yang pada ketika itu sedang berada di pentas.

Di sini, Sabri mengisyaratkan dua sisi watak Duan yang kemudiannya mewarnai hampir seluruh filemnya ini. Pertama, kecintaan kepada kesenian makyung. Gangguan dua pemuda terhadap seorang wanita dalam kalangan penonton ketika dia sedang beraksi sehingga mencetuskan pertengkaran dan pergaduhan telah menggugat konsentrasi Duan. Duan marah! Kedua, gangguan itu sekali gus tidak bermoral dan Duan bertindak menyerang pengganggu atas nama maruah! Dia sangat jengkel.

Duan “dihantar” oleh Sabri ke Kuala Lumpur. Ada kekesalan juga kalau hendak dikira, namun Duan berharap di Kuala Lumpur dia dapat mengembangkan kesenian ini atau sekurang-kurangnya mengubati hati tidak mensia-siakan bakat yang telah mendarah daging dalam dirinya. Lalu Duan ditemukan dengan watak Nancy yang konon ingin menyelesaikan desertasinya dalam kesenian Melayu Nusantara.

Apakah muslihat sang pengarah yang seorang ini?

Nancy mempunyai rekod sejarah yang masih membara dalam perancangan Fendi Bukit Bintang, seorang ketua gangster yang digeruni di Kuala Lumpur untuk membunuhnya. Atau adakah perancangan Jimmy Ang, yakni si ayah yang memerlukan seseorang mengawasi anaknya yang dihidunya masih berada dalam bahaya sekalipun telah melakukan penyamaran (melalui pembedahan plastik di luar negara)? Duan sebenarnya sudah selangkah masuk ke wilayah persengketaan dalam kelompok penjenayah di dunia gelap Kuala Lumpur.

Duan terdedah kepada “persengketaan” besar dan hal ini amat bersesuaian dengan dirinya yang gemar bergaduh tatkala berada di kampung. Duan berada dalam skala indah kesenian makyung kerana belum pernah terbayang akan berpeluang melakukan persembahan di Jepun dan skala sengit percaturan para ketua gangster di kota serba mencabar. Bermula memukul beberapa pemuda yang mencabar maruah negerinya (Kelantan), kemudian membantu menewaskan gerombolan samseng penarik kereta yang mencabar sahabat baiknya, dia terperosok ke dalam lingkungan orang suruhan Fendi!

Pada kali ini, pengarah meramukan naskhah dengan jalinan cukup beriringan serta melengkapi juga mempertahankan kelangsungan makyung dan pertarungan getir mempertahankan tanggungjawab dan kebenaran. Dikatakan tanggungjawab kerana seperti katanya kepada Nancy, “Saya tidak akan tinggalkan orang yang sedang makan makanan yang saya hidang!” Nancy yang dalam bahaya kini menjadi tugasnya menyelamatkan gadis tersebut.

Pertarungan pun terjadi. Kedua-duanya, jiwa membara dalam kesenian, perhitungan getir dengan kejahatan! Duan tidak berundur, satu sifat “nago bogho” yang telah terkenal dalam pelbagai kisah lisan rakyat negeri Kelantan, bahkan popular hingga ke hari ini. Duan yang berada dalam lingkungan paya kecil di kampungnya dan sekarang dalam lingkungan medan besar penuh tantangan di metropolitan.

Filem Duan Nago Bogho dibarisi bintang hebat seperti Dato’ Rosyam Nor, Asrul Faisal Kamaruzaman, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Angeline Tan, Jason Chong, Huraisi Hussin, Sabri Saidi dan Sabri Yunus sendiri. Diterbitkan oleh produser terkenal, iaitu Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd., filem Duan Nago Bogho telah bersedia menjengah panggung seluruh negara bermula 19 Janurai 2023. Selain menulis skripnya, Sabri Yunus juga adalah pengarah filem ini.

Apakah pengakhiran yang diimpikan Sabri Yunus? Sabri Yunus terkenal sebagai seorang insan yang amat mencintai kesenian rakyat negerinya meliputi wayang kulit, makyung, dikir barat, menora dan segala bentuk kesenian tradisional yang pernah diceburinya. Kecintaan Sabri Yunus kepada kesenian diletakkan seluruh harapan kepada si peran Duan. Walau bagaimanapun, kesenian ini juga sedang berhadapan dengan zaman sukar di dunia moden hari ini. Peran dalam kesenian makyung di sebalik sifat “bodoh-bodoh alangnya” adalah seorang perancang dan pemikir sekali gus pahlawan Raja yang gagah berani.

Jika benar Sabri Yunus berada pada manifestasi ini, sesungguhnya dia telah “mengambil keluar” Duan dari bangsal terpencil makyung untuk mempamerkan ciri-ciri sifat dan sikap menurut gagasan baharunya. Keberanian Duan amat luar biasa dan hal itu sudah jelas di bangsal makyungnya. Namun begitu, peran sebenar ialah pemegang amanah maruah di mana-mana sahaja. Malahan sanggup menjadi pembela masyarakat yang lebih besar, sekiranya demikianlah diam-diam Sabri Yunus ingin menyatakan!

Marilah kita bersama-sama menyaksikannya di pawagam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.