30 Januari 2023, 19:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada 26 hingga 27 Januari 2023 bertempat di Panggung Eksperimental, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah berlangsung sebuah pementasan teater klasik berjudul Inspektor Jeneral hasil karya Nikolai Gogol dengan usaha terjemahan oleh Ahmad Yatim dan dibimbing oleh tenaga pengajar yang pakar, iaitu saudara Shahrul Mizad Ashaari.

Antara babak yang terdapat dalam pementasan teater Inspektor Jeneral.

Seramai 13 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater telah dinilai sepanjang pementasan ini berlangsung untuk subjek Penilaian Produksi Teater Klasik. Pementasan teater selama dua jam ini telah berjaya memukau para penonton dengan babak-babak lucu dan pelbagai aksi bertenaga oleh para pelakon yang berpakaian busana ala Inggeris serta latar pentas yang berjaya membawa penonton berasa seperti berada pada era berkenaan.

Pada babak awal pembukaan teater, para penonton didendangkan dengan lagu-lagu klasik Rusia yang membuatkan para penonton berasa seolah-olah berada dalam dunia pementasan teater berkenaan dengan lampu pentas yang memfokuskan kepada set pentas dan membuatkan para penonton teruja menantikan pementasan teater bermula.

Babak pertama teater menyaksikan aksi Gabenor yang dilakonkan oleh Ammar Abd Razak yang menyatakan kerisauannya apabila seorang Ketua Jeneral akan hadir ke tempatnya, namun mereka telah tersalah anggap apabila menyangka Khlestakov lakonan Azwan Ahmad sebagai Inspektor Jeneral. Pelbagai adegan penipuan oleh Khlestakov yang menyamar sebagai Inspektor Jeneral telah membuatkan penonton tidak kering gusi.

Matlamat penganjuran teater Inspektor Jeneral adalah untuk menilai keupayaan para pelajar dalam mengendalikan sesebuah produksi pentas.

Kekuatan pementasan teater ini terhasil daripada olahan dan garapan pengarah yang bijak memberikan watak kepada para pelakon dan hasilnya membuatkan para pelakon dapat membawa watak dengan baik dan berkesan. Setiap dialog yang dituturkan oleh para pelakon dilontarkan dengan lantang dan jelas dan menjadikan tiga elemen asas teater, iaitu suara, gerak dan emosi berjaya dikuasai oleh para pelajar yang dinilai.

Objektif pementasan teater klasik Inggeris ini adalah untuk menilai keupayaan para pelajar dalam mengendalikan sesebuah produksi pentas bermula daripada proses-proses awal sesebuah pementasan teater sehinggalah hari berlangsungnya pementasan teater. Kesemua aspek pengurusan dan lakonan pentas dinilai sepanjang proses pementasan teater ini berlangsung dan hal memberikan gambaran yang jelas bahawa ASWARA sangat mengutamakan aspek teori dan praktikal.

Pementasan teater ini juga turut dihadiri oleh beberapa orang penggiat teater tanah air seperti saudara Hamzah Tahir yang merupakan seorang tenaga pengajar seni teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan pereka set pentas terkenal tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.