4 Februari 2023, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kajian yang berkaitan dengan peradaban Melayu perlu dilaksanakan secara lebih mendalam supaya terangkatnya teori alam Melayu di seluruh dunia.

Forum Peradaban Alam Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Susulan itu, Forum Peradaban Alam Melayu anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, hari ini. Forum ini merungkai fakta baharu melalui kajian secara terperinci tentang peradaban alam Melayu untuk mengangkat semangat jati diri dan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap nilai peradaban Melayu.

Forum ini menampilkan dua orang ahli panel undangan, iaitu Pakar Nahu Bahasa Arab dan Falsafah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob dan Pakar Geologi dan Arkeologi, Universiti Sains Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku moderator.

Penganjuran forum ini bermatlamat untuk mencungkil dan mengeluarkan segala fakta tersembunyi tentang kehebatan bangsa Melayu, membangkitkan rasa bangga dan memberikan penghargaan kepada pejuang agama dan tamadun bangsa serta mendidik rasa kasih generasi pada masa ini kepada bangsa, agama dan negara.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku moderator Forum Peradaban Alam Melayu.

Majlis ilmu ini dimulakan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang menyatakan bahawa DBP sentiasa memberikan sokongan terhadap segala kegiatan untuk mengangkat benteng tamadun negara yang berteraskan Melayu Islam.

Kita tidak melihat sejarah alam Melayu itu sebagai suatu sejarah yang terputus. Pada hakikatnya, alam Melayu ini berkesinambungan dengan sejarah tamadun awal manusia. Hal ini adalah penting untuk dikembangkan dan diperluaskan bagi memenuhi teori alam Melayu, yakni yang dikaitkan dengan sifat fitrah tamadun Melayu yang berasaskan kesinambungan sejarah awal manusia.

YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob mengupas tajuk “Penemuan Fakta Terbaharu Alam Melayu: Menolak Teori Orientalis dan Penjajah” dalam Forum Peradaban Alam Melayu.

“Intelektual, kebolehan berbahasa dan kebolehan menganalisis terhadap sesuatu perkara telah melahirkan tamadun besar manusia di atas muka bumi ini,” ujar YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob yang membuka tirai perkongsiannya dalam forum ini.

Beliau turut menyatakan bahawa banyak data tamadun kuno Champa-Melayu yang hilang dan tidak dapat ditemukan dalam mana-mana catatan sejarah. Selain itu, beliau juga mendapati terdapat unsur hukum yang menyatakan kewujudan bangsa Melayu di alam kuno. Kebanyakan catatan sejarah Barat juga tidak melaporkan data yang berkaitan dengan tamadun Melayu bertarikh antara dua hingga tiga Sebelum Masihi di alam Melayu.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau mencadangkan beberapa inisiatif untuk mengembangkan ilmu peradaban alam Melayu dengan lebih luas seperti mengusahakan penerbitan buku sejarah asal tamadun kuno Champa-Melayu yang menjadi asas pembentukan bangsa asal Melayu.

Selain itu, DBP juga disarankan untuk menghasilkan kamus bahasa kuno Champa-Melayu dalam bahasa Melayu moden bagi membolehkan masyarakat mengetahui asal usul bangsa yang pupus. Beliau turut menyarankan agar bantuan yang sewajarnya oleh pihak berwajib disalurkan kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan bagi menggerakkan usaha dan kajian yang lebih menyeluruh berkaitan dengan bangsa dan tamadun Melayu.

YBhg. Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin membongkar rahsia kehebatan tamadun bangsa Melayu yang beribu-ribu tahun tersembunyi di Sungai Batu, Kedah.

Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Mokhtar Saidin memaparkan pelbagai bukti penemuan ribuan tapak peleburan besi di Sungai Batu, Kedah sekali gus membuktikan kehebatan tamadun Melayu kuno pada masa lalu dalam forum yang berlangsung hampir dua jam ini.

Saya hanya menjalankan kajian di Sungai Batu, namun tidak disangka-sangka bahawa data yang dikumpulkan itu memberikan kesan kepada dunia. Penemuan ini membuktikan telah wujudnya suatu industri yang telah dilaksanakan di Kedah sekali gus membuktikan terlaksananya satu tamadun bangsa yang hebat.

Dalam forum ini juga, beliau berkongsikan gambar tapak peleburan besi di Sungai Batu. Tapak ini ditemukan melalui penemuan relau, “tuyere” dan besi mentah. Hasil peleburan besi yang turut ditemukan di tapak ini ialah arang, abu peleburan, jongkong besi dan sisa besi.

Secara keseluruhannya, beliau merumuskan bahawa Kedah ialah tempat pengeluar jongkong besi. Setakat ini, berdasarkan data yang diperoleh, telah wujudnya industri peleburan besi sejak 788 Sebelum Masihi dan hal ini menjadi bukti bermulanya suatu tamadun di Kedah Tua.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengerusi PEMBELA, Tuan Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid, Pengarah Program Forum Peradaban Alam Melayu, Puan Seri Fatini Yaacob, dif kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana program, peserta daripada pelbagai pertubuhan dan institusi serta tetamu undangan yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.