Oleh S. Syazan
27 Februari 2023, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Pada 25 Februari 2023 yang lalu, sebuah pementasan teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia telah dipentaskan dengan jayanya. Pementasan teater ini merupakan hasil karya dan arahan Tengku Azman Shah dan Ameliana Nadia atau lebih mesra dengan panggilan KuMel. Teater ini berlangsung di Panggung Percubaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan mendapat sokongan dan sambutan yang memuaskan.

Barisan pelakon dan krew produksi teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia.

Barisan pelakon yang terlibat merupakan ahli produksi teater yang sudah biasa bermain dengan pentas dan berpengalaman dalam bidang lakonan. Antaranya termasuklah Amirah Razak, Merah Malam, Faizal Ruhaijat, Fahim Fuad, Aidilduha, Asila, Firash Yash, Harith Jumat, Pojie, Aiman Meng, Murni dan Husna. Selain itu, produksi ini juga mendapat bantuan daripada tenaga pelajar teater diploma semester 2 dan 4, pelajar ijazah sarjana muda semester 1, 3 dan 4 serta pelajar muzik daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI.

Pengarah telah memilih gaya Devised Theater bagi menjayakan pementasan teater. Gaya ini lebih bebas memberi ruang kepada pelakon untuk bermain dengan watak apabila mereka perlu melakukan proses kerja-kerja kolaborasi kreatif secara berkumpulan tanpa skrip tetap yang mengikat mereka. Paling menarik, teknik ini memerlukan pelakon melakukan improvisasi ketika persembahan kerana jalan cerita yang diberikan hanya sebagai panduan kepada pelakon. Hasil temu bual bersama salah seorang pelakon, mereka hanya mempunyai masa lebih kurang dua minggu untuk melakukan proses kerja kreatif bagi memastikan perjalanan pementasan teater berjalan dengan lancar.

Secara ringkas, teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia mengisahkan tentang watak Mira yang bercinta dengan Daus secara rahsia tanpa pengetahuan ibu bapa mereka kerana hubungan yang tidak direstui keluarga. Pada suatu hari, Ejal yang baharu saja pulang dari London bertemu dengan ketua kampung bagi merisik Mira sambil ditemani bapa Ejal, seorang yang sangat kaya bersama-sama rakan baiknya. Dari satu sudut yang berbeza, watak Cikgu Pojie bersama-sama Aiman banyak menghabiskan masanya di Blind Corner, warung milik Pak cik Yash. Cikgu Pojie dan Aiman yang datang ke warung sering kali mengusik dua orang anak dara Pak cik Yash, iaitu Husna dan Murni.

Antara babak yang terdapat dalam persembahan teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia.

Kesimpulannya, cerita ini mengangkat tentang isu antara cinta, keluarga, harta dan darjat di samping pengarah juga cuba mengetengahkan elemen muzik tradisional Malaysia seperti rebana dalam pementasan teater yang berlangsung.

Penganjur utama bagi pementasan teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia ini adalah Pertubuhan Seni Laskar Lantera dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UPSI dan dijayakan oleh produksi Seven Idiots bersama-sama Thespian Resources. Produksi ini mendapat tajaan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta mendapat tajaan lain daripada Kedai Makan Pyor, Medan Selera Tanjong Malim dan lain-lain.

Pementasan teater pada malam tersebut dimeriahkan dengan kehadiran ahli panel daripada MOTAC, Dekan FMSP serta rombongan Man Raja Lawak. Semoga usaha pelajar ini dapat membuka mata banyak pihak supaya memberikan peluang dan sokongan kepada pelajar bidang seni persembahan agar dapat berkarya serta mendapat sokongan penuh dan tajaan yang kukuh daripada pelbagai pihak yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.