2 Mac 2023, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” merupakan lagu kempen terbaharu Tourism Malaysia untuk menyeru rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing sedang diwawancara oleh para wartawan selepas menyempurnakan majlis pelancaran lagu kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” dan acara larian santai sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, slogan “Inilah Masanya” memanifestasikan satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik agar terus berdaya tahan tatkala berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

“Selain berlari santai sambil menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan,” kata YB Dato’ Sri Tiong King Sing sewaktu menyempurnakan majlis pelancaran lagu kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” dan acara larian santai sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Tambah beliau, menerusi kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan pergerakan melancong merentasi pelbagai negeri dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Lagu “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” didendangkan buat pertama kali secara langsung oleh penyanyi Nik Qistina. Lagu tersebut merupakan hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan lirik nukilan James Boyle. Video lagu ini boleh ditonton di https://youtu.be/t4TrhUIjSWQ.

Kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” memfokuskan kepada segmen keluarga dan golongan milenial dengan mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan keseronokan keluarga, eko pelancongan dan kembara, pulau dan pantai, segmen beli-belah serta budaya dan warisan.

Selain pelancaran kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia”, acara larian santai anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWIM) juga diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini. Seramai 5302 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam larian sejauh 7 kilometer menggunakan laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Car-Free Morning) bagi kategori individu dan keluarga.

Pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Tuan Khairul Anuar Mhd Juri yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Hajah Saraya Arbi serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab.

Antara peserta acara larian santai anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWIM).

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan juga diserikan dengan program Pameran Santai @ Kuala Lumpur ‘’Me & Mycity’’ di Dataran Merdeka yang menawarkan penjualan pelbagai pakej pelancongan yang menarik. Antara pempamer yang menyertai astaka Tourism Malaysia pada kali ini ialah Menara Kuala Lumpur, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), C’woks Design (Batik Tulis), Premiera Hotels & Resort serta Farhan Travel & Tours.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti demonstrasi batik dan terapi spa yang turut ditawarkan oleh para penggiat industri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.