Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkawi – Baru-baru ini, telah berlangsung pementasan teater Dendam Mahsuri oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Teater ini dipentaskan bersempena dengan penganjuran Bengkel Kerja Pengurusan Guru antara Negeri dan Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 di Hotel Adya, Pekan Kuah, pada 10 Mei 2023 yang lalu.
Pulau Langkawi yang terletak di Kedah sememangnya terkenal dengan legenda Mahsuri. Hal ini turut diikuti dengan keindahan alam semula jadi, jualan barang bebas cukai dan produk tarikan yang menarik minat ramai pelancong dan pengunjung untuk mengunjungi pulau pelancongan tersebut sejak dahulu hingga kini, terutamanya selepas Pengisytiharaan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 Januari 1987. Mahsuri merupakan seorang anak desa di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka yang terkenal dengan kecantikan, keayuan dan budi pekerti seharum seperti pemilik namanya. Namun malangnya, dia telah dijatuhi hukuman mati angkara fitnah.
Jalan cerita asal legenda setempat ini telah direka cerita semula dengan sentuhan dan olahan oleh pelajar SMK Kedawang. Mahsuri yang sebelum ini merupakan gadis desa telah dijelmakan sebagai seorang permaisuri yang berkuasa sakti di Langkawi. Kekuasaan baginda tidak bertahan lama kerana selepas itu Permaisuri Mahsuri telah terkorban dek angkara kuasa oleh persaingnya, Lela dan Jalak. Dua orang putera permaisuri, iaitu Wan dan Hakim, berusaha menuntut bela atas kematian bonda mereka, namun, mereka juga turut menghadapi tentangan dan krisis peribadi antara mereka berdua. Cabaran yang mendatang dihadapi dengan kerja sama yang erat antara kedua-dua beradik tersebut sehingga berjaya menumpaskan Lela dan Jalak. Diakhir cerita, mereka sepakat untuk membangunkan Langkawi mengikut panduan yang telah digariskan oleh Permaisuri Mahsuri.
Produksi teater SMK Kedawang ini yang terdiri daripada pelajar dalam jurusan seni lakonan dan seni lukisan mula ditubuhkan sejak tahun 2015, dengan tercetusnya kerjasama bersama-sama Suatukala. Suatukala ialah inisiatif jangkauan komuniti yang tertumpu pada penceritaan dalam apa jua bentuk. Menurut penerbit, pada bulan September 2023, SMK Kedawang telah menghantar seramai 25 orang murid bagi menyertai Kem Teater Rekacerita yang dianjurkan oleh Suatukala dengan kerjasama pihak LADA.
Para pelajar dibimbing dengan ilmu asas pementasan teater. Rekacerita merupakan olahan jalan cerita yang dicipta dan dinukilkan oleh para pelajar berdasarkan kisah-kisah Lagenda di Langkawi dengan menggunakan idea dan kreativiti mereka sendiri. Seramai 20 orang pelajar dari SMK Kedawang terpilih bagi pertandingan pementasan akhir Rekacerita dan buat julung kalinya program ini dianjurkan, SMK Kedawang telah dinobatkan sebagai Johan.
Pementasan teater Dendam Mahsuri ini diterbitkan oleh guru seni SMK Kedawang, Shureeza Faris Abdul Shukor, diarahkan oleh Naufal Nor Azli dan Fifi Aliesya. Teraju utama teater ini ialah Naufal Nor Azli, Yahya Omar, Danial Ikhlas, Johaneef Hakeem dan Syifa Amani. Pementasan ini telah disaksikan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Penempatan dan Pertukaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Zanol Haji Awang, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Tuan Haji Mohd Kamal Hashim dan barisan urusetia dari BPSH dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Persembahan ini telah mendapat dukungan dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, SMK Kedawang dan LADA.