Oleh Karmila Azmi
3 Jun 2023, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seni persembahan tradisional Kelantan, Main Puteri bakal dipentaskan di Festival de I’Imaginaire di Paris, Perancis pada 7 Jun ini.

Persembahan yang akan berlangsung di Theatre de I’Alliance Francaise, Paris itu dibawakan oleh sebuah pertubuhan pelestarian seni budaya warisan Malaysia, iaitu PUSAKA selepas menerima undangan pertubuhan Maison des Cultures du Monde.

Pengasas PUSAKA, Eddin Khoo dalam kenyataan medianya berkata, persembahan itu menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan lagi bakat seniman dalam bidang kebudayaan dan kesenian di persada antarabangsa.

“Ini adalah kali kedua PUSAKA dijemput untuk membuat persembahan di sana selepas kejayaan persembahan seni tradisional Makyung, Menora dan Wayang Kulit pada tahun 2007.

“Kami berbangga dan berbesar hati diberi peluang untuk mementaskan Main Puteri dalam satu festival yang terkemuka dalam usaha mengangkat martabat dan memperkasakan seni tradisional di luar negara,” katanya.

Eddin menambah, program itu akan menampilkan adiguru seni Main Puteri, iaitu Che Mohd Zailani Che Moh atau terkenal dengan gelaran Pok Mat Jedok, Mohd Noor Arifin (Pok Jue), Ahmad Shaifuldin Jusoh (Din Puteri), serta barisan pemuzik bakat muda dari Kelantan seperti Kimi Anak Limbat (pemain rebab), Syakil Yusof (pemain serunai) dan Alang Rebanamas (pemain gendang).

Program ini turut mendapat sokongan dari Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, dan MyCreative Ventures.

Sementara itu, Pengerusi MyCreative Ventures, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya menyokong usaha membawa adiguru seni warisan tidak ketara Malaysia ke persada dunia.

Festival de I’Imaginaire diasaskan pada tahun 1997 oleh Maison des Cultures du Monde, menawarkan pentas kepada rakyat dan tamadun dunia kontemporari dan bentuk ekspresi yang langka dan luar biasa, menyumbang kepada dialog antara tamadun, kerjasama antarabangsa dan memelihara kepelbagaian budaya.

Kredit Foto: Cheryl Hoffman/Gambar Ihsan PUSAKA

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.