Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu – Program Menyemarakkan Seni Budaya: Festival Seni Rakyat Terengganu akan berlangsung pada 17 hingga 18 Jun 2023, Sabtu dan Ahad ini, di Pekarangan Kompleks JKKN Terengganu, Kuala Ibai, Terengganu. Pelbagai program kesenian dan kebudayaan rakyat Terengganu akan dipersembahkan kepada khalayak yang hadir.
Encik Samsuring Meli, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Terengganu ketika dihubungi berkata, program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama erat jabatan kerajaan peringkat persekutuan dan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan di Terengganu ini sangat bernilai dalam aspek kerjasama dan juga gabung jalin tenaga yang memberi manfaat besar kepada orang ramai melalui pengisian program yang bakal dilangsungkan.
Program yang julung kali diadakan di pekarangan Kompleks JKKN Terengganu ini memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni dan agensi awam berkaitan untuk menyerlahkan bakat dan produk mereka dalam bidang seni dan budaya. Selain itu, program ini dapat membantu penggiat seni dan peniaga budaya menjana ekonomi melalui persembahan, pertandingan, pameran dan melalui keluaran produk-produk seni dan budaya yang dipamerkan dan dijual kepada orang ramai, misalnya makanan dan hasil kraf tangan.
Program ini juga mengangkat identiti seni warisan dan budaya negeri Terengganu yang hampir pupus, misalnya kesenian lagu Saba dengan mengadakan Bengkel Pemantapan Lagu Rakyat Terengganu (Lagu Saba) dan demonstrasi persembahannya pada 18 dan 19 Jun 2023 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama JKKN Terengganu dan Persatuan Selampit Seni Negeri Terengganu (SELAMPIT).
Dua orang tokoh penggiat lagu Saba ditampilkan, iaitu Mok Zah Saba, Tokoh Seni Budaya Terengganu dan Mohd Kharudin Hanippah, penggiat teater dan lagu Saba.
Antara program memperkasakan seni budaya yang bakal memeriahkan program termasuklah Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Gasing Pangkah, Demonstrasi Permainan Gasing, Pertandingan Busana Pendekar Muda, Pertandingan Ratu Kebaya Cilik, Demonstrasi Sobek Wau, dan Pertandingan Wau Lang Sapir (wau tradisi negeri Terengganu).
Turut diadakan Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Sekolah Rendah dan Menengah, Pertandingan Memanah Dewasa dan Kanak-kanak, Permainan Tradisi Kanak-kanak, Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Saleem Iklim. Artis jemputan yang diundang ialah Roy Kapilla dan Juara Bintang Asli Kebangsaan, Najib Hamzah. Persembahan kesenian rodat dan seni silat turut diketengahkan.
Istimewanya program ini turut melibatkan masyarakat nelayan dan kampung dalam Demonstrasi Mukat Lekong, iaitu kaedah memukat ikan yang menjadi amalan tradisi masyarakat nelayan Terengganu. Pelbagai pameran daripada agensi kerajaan turut diadakan dan pemupukan budaya membaca melalui jualan buku dengan diskaun khas daripada Ujana Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur memeriahkan lagi program.
Ayuh, datanglah beramai-ramai bersama-sama keluarga dan sahabat handai ke Program Menyemarakkan Seni Budaya: Festival Seni Rakyat Terengganu!