Oleh Lutfi Zahid
19 Jun 2023, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Melaka – Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, pada pagi ini.

TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam merasmikan Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos?

Seminar yang dianjurkan oleh Muzium Seni Bina, Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Melaka, diadakan bertujuan untuk merungkai persoalan yang melibatkan kewujudan, reka bentuk dan fungsi kapal Mendam Berahi ketika era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa pada zaman dahulu, tamadun Melayu merupakan tamadun yang hebat. Namun begitu, kini masyarakat kita ketinggalan dalam banyak perkara, termasuklah dalam hal sejarah dan warisan.

“Bangsa kita bukan calang-calang orang. Tamadun kita, tamadun yang hebat sehingga menjadi tempat pertemuan dunia Timur dan Barat. Begitulah hebatnya sejarah bangsa dan negara kita. Kembalikanlah kegemilangan ketamadunan ini dengan tindakan yang sewajarnya setelah kita berseminar pada hari ini,” ujar TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan ucapan perasmian.

Kapal Mendam Berahi yang dipercayai wujud sezaman dengan Laksamana Hang Tuah ini dikatakan sebuah kapal gergasi yang amat digeruni oleh pihak lawan pada suatu masa dahulu. Kapal ini berfungsi sebagai penjaga keselamatan perairan Melaka dan melaksanakan misi diplomatik serta perdagangan ke negara luar.

Seminar  selama dua hari ini, iaitu bermula pada 19 Jun 2023 hingga 20 Jun 2023, berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Melaka, menampilkan lapan orang pembentang yang terdiri daripada ilmuwan dan penyelidik kapal Mendam Berahi, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Paduka Dr. Hashim Musa; Profesor Madya Dr. Rohaida Kamarudin; Drs. Mohd Nasruddin Rahman; Dr. Mohd Akbal Abdullah; Dr. Mohd Hasanuddin Mohd Yusof; Datuk Haji Mohammad Ismail Othman; Dr. Ahmad Jelani Halimi; dan Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad.

Yang turut hadir pada majlis perasmian Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? ialah Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara; Datuk Zaidi Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya mewakili Datuk Seri Ab Rauf Yusof, Ketua Menteri Melaka; dan Datuk Kamarul Baharin A.Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.