Oleh Lutfi Zahid
20 Jun 2023, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian Tunggal – Majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 telah dirasmikan pada petang ini oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga merangkap Canselor Universiti Teknikal MalaysiaMelaka (UTeM).

Majlis pelancaran yang berlangsung di Auditorium UTeM merupakan usaha promosi dan hebahan awal kepada masyarakat tentang Ekspo Buku Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada 28 Februari 2024 hingga 3 Mac 2024.

TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan ucapan pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024.

Ekspo Buku Malaysia 2024 yang dianjurkan oleh Yayaysan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama UTeM dan Yayasan Bank Rakyat akan diadakan di Melaka pada tahun hadapan sebagai satu daripada pengisian Tahun Melawat Melaka 2024.

Ekspo ini diadakan bertujuan untuk mengetengahkan buku ilmiah, buku berkaitan dengan pendidikan dan bacaan umum seperti novel dan buku rujukan akademik yang sesuai untuk pelajar, pensyarah dan masyarakat.

TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa penganjuran Ekspo Buku Malaysia 2024 mampu meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat, selain menggerakkan kegiatan penerbitan dan perbukuan di negeri Melaka.

”Saya percaya gerakan merakyatkan buku menerusi ekspo ini dengan kerjasama seluruh warga industri yang akan berhimpun kelak pasti menyemarakkan momentum industri tanah air ke arah suasana yang lebih makmur dan intelektual,” kata TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Dalam majlis tersebut, turut diumumkan YBhg. Profesor Emeritus Dr. Zainal Kling dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran [mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)] sebagai penerima Anugerah Khas Buku Negara. Anugerah Khas Buku Negara diberikan untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan penerima terhadap perkembangan dan kemajuan industri perbukuan di Malaysia.

YBhg. Profesor Emeritus Dr. Zainal Kling menerima Anugerah Khas Buku Negara.
YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menerima Anugerah Khas Buku Negara.

 

Lebih bermakna lagi, dalam Majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024, TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam juga turut menyampaikan sijil pelantikan kepada 17 buah agensi yang terpilih sebagai rakan strategik Eskpo Buku Malaysia 2024.

Agensi yang tersenarai ialah DBP, UTeM, Majlis Profesor Negara, Astro Awani, Arkib Negara Malaysia, Yayasan Bank Rakyat, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, MITC, Melaka, TikTok Malaysia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Institut Kepimpinan Bitara Malaysia, PADIGITAL Graha Utama, Kangen Water – Top Gun Group, BC Solution, Love Novel Publishing Sdn. Bhd. dan Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd..

Yang turut hadir dalam majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia ialah YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN; YBhg. Profesor Ts. Dr. Massila Kamarudin, Naib Canselor UTeM; dan YBhg. Dato’ Dr. Husaini Omar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.