Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Teater Pendek 10 Minit anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-67 DBP telah berlangsung dengan jayanya pada malam tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Dalam program ini, kehadiran kumpulan pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan sebagai penonton telah menarik perhatian orang ramai.
Menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Puan Zaidah Mahadi, meskipun berdepan dengan kekangan pancaindera, kumpulan pelajar ini turut terlibat dalam persembahan teater menerusi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif, khususnya bagi pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar biasanya akan sangat berminat dan bersungguh-sungguh serta berbakat dalam setiap latihan atau projek teater. Hal ini dikatakan demikian kerana sekiranya hanya latihan mendengar sahaja dilakukan dalam aktiviti pembelajaran, mereka belum cukup menghayati mesej yang ingin disampaikan. Namun begitu, menerusi aktiviti teater, pelajar akan dapat menjiwai pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna.
Menurut beliau lagi, kumpulan pelajar OKU penglihatan yang hadir pada malam ini berasa sangat gembira kerana mereka berpeluang menonton teater dari jarak dekat.
“Saya berterima kasih kepada DBP kerana menyediakan tempat yang berhampiran dengan pentas utama. Dalam kalangan mereka ini, ada pelajar yang hanya boleh mendengar dan sebahagiannya boleh melihat dengan penglihatan yang amat terhad,” kongsinya.
“Peluang menonton teater seperti ini akan menimbulkan rasa cinta dan kesungguhan pelajar istimewa ini kepada bidang teater. Selain meningkatkan keyakinan diri, mereka juga boleh mengasah bakat dalam bidang seni yang lain,” ujarnya lagi.
Puan Zaidah Mahadi juga amat menyokong usaha DBP dalam mempergiat program teater dan kesenian seumpama ini selain berharap agar pelajar OKU penglihatan juga akan memperoleh peluang untuk mencuba bakat mereka dalam pertandingan anjuran DBP.
“Selain persembahan teater, alumni SMK Pendidikan Khas Setapak juga berbakat dan menempa nama dalam bidang muzik dan nyanyian,” katanya.