Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teknologi moden datang dan pergi dari semasa ke semasa. Memang perkara biasa kekaguman atas kehebatan yang dirasai pada peringkat awal sesebuah teknologi lama-kelamaan berubah apabila muncul teknologi baharu. Menolak atau menerimanya adalah hak masing-masing.
Namun demikian, tidak wajar jika terus menolaknya secara membuta-tuli kerana meskipun setiap perkara itu ada baik dan buruk, kita harus menerima yang baik untuk kebaikan bersama tanpa mengira apa bidang pun.
Ahli panel Wacana Pembangunan Produk Seni Budaya “Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Ancaman atau Kelebihan pada Seni Budaya Tempatan?” di Auditorium Mini Kompleks Pelancongan Malaysia (MaTiC) menyimpulkan bahawa kecerdasan buatan atau teknologi AI bukan musuh yang perlu dijauhi.
Aidil Hidayat (Pendakwah Teknologi), Hazwan Hassan (Mid Journey Mahir Malaysia), dan Khairul Ikhwan (Gig Venture) sebagai ahli panel, malah menyarankan agar teknologi AI dijadikan rakan baik yang dapat membantu memudahkan segala urusan.
Wacana yang dimudahcarakan oleh Pengarah Urusan Global Impress Sdn. Bhd., Irzal Kamal itu turut menampilkan Dato’ M. Nasir sebagai tetamu khas. Selain ikut memberikan pandangan dan jawapan atas soalan yang diajukan oleh Irzal dan Aidil, seniman terkenal itu mendendangkan lagu popular beliau, Tanya Sama Itu Hud Hud.
Teknologi AI merupakan aplikasi digital yang mampu meniru kepintaran manusia untuk “belajar menjadi pintar”. Dalam hal ini, jentera dibina untuk menyelesaikan segala tugasan, dan mempelajari serta memahami konsep untuk menyelesaikan tugas, dan permasalahan.
Dari sudut seni persembahan, terutamanya seni tradisi, AI mampu mewujudkan unsur kekaguman untuk menghasilkan paparan visual, dan bunyi bagi meningkatkan bentuk apresiasi penghayatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Teknologi AI dapat mewujudkan revolusi penghasilan karya seni untuk mengubah landskap penghasilan karya kreatif dalam bentuk gerak, komposisi muzik, visual, dan kesusasteraan. AI juga mampu memudahkan penggiat seni menghasilkan sesuatu karya yang lebih bermutu, dan bermakna menerusi cadangan karya seni dalam bentuk visual, atau tulisan seperti penghasilan skrip pentas.
Aidil yang menyentuh pengenalan AI menyimpulkan bahawa teknologi canggih tersebut bukan perkara buruk, dan memburukkan. Beliau juga meyakinkan hadirin bahawa teknologi AI yang mula diperkenal pada tahun 1956 di Amerika Syarikat tidak sukar kerana yang penting ialah masa, dan kesabaran seseorang untuk mempelajari, dan menggunakannya.
Hazwan pula menyedarkan bahawa sejak tahun 2000 kita sendiri tanpa sedar atau tidak telah menggunakan teknologi AI ketika memberikan panduan mengenai sesuatu perkara kepada orang lain, terutamanya kanak-kanak. Jadi, meskipun lebih pintar daripada manusia, AI bukan perkara asing, malah amat bermanfaat selagi digunakan dengan pintar.
Bagi Khairul, soal teknologi AI mengurangkan peluang pekerjaan kepada manusia bukan perkara yang terlalu serius kerana AI sekadar alat. Peluang pekerjaan, jelas beliau, hanya hilang jika seseorang itu tidak menggunakannya dengan pintar, apatah lagi “buta” atau menolak terus.
Nasir juga menganggap teknologi AI hanya alat untuk berkarya seperti teknologi-teknologi sebelum ini. Bagi beliau, perkara tersebut tidak terlalu membimbangkan walaupun mengakui sukar mencari karya yang benar-benar asli pada zaman sekarang ekoran penggunaan pelbagai teknologi, dan amalan “peniruan” karya karyawan terdahulu.
Meskipun tetap menganggap kejujuran dan kesabaran dalam berkarya sangat penting, tetapi ahli panel wacana berkenaan dan Nasir bersetuju bahawa teknologi AI memang berguna dalam membantu menjimatkan masa, dan perbelanjaan. Bukan itu sahaja, teknologi AI membuka pintu rezeki kepada mereka yang pintar menggunakannya.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sentiasa proaktif dalam usaha membantu para penggiat seni di luar sana menghasilkan karya-karya seni yang terbaik, selari dengan perubahan arus teknologi masa kini.
JKKN juga mahu membantu mewujudkan kepelbagaian kepada para penggiat seni dari aspek penghasilan karya seni menggunakan pendekatan tradisional, dan moden menerusi teknologi AI. Menerusi pelantar ini juga, urusan pemasaran dan pembinaan penjenamaan karya seni masing-masing dengan menggunakan teknologi AI itu sendiri menjadi lebih mudah.
Justeru, JKKN melaksanakan Wacana Pembangunan Produk Seni Budaya “Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Ancaman atau Kelebihan pada Seni Budaya Tempatan?” yang merupakan program kedua selepas membicarakan teknologi Metaverse menerusi tajuk “Melangkah ke Alam Digital” pada 8 September 2022.
Program berkenaan bertujuan memupuk keinginan dalam kalangan penggiat seni mempelajari, dan mengamalkan keupayaan teknologi AI dalam seni selain membuka peluang kepada penggiat seni menyumbangkan pengetahuan, dan kepakaran masing-masing menerusi jaringan kerjasama antara kumpulan teknokrat dalam teknologi AI bagi mempertingkat kelangsungan seni budaya tradisi dalam era digital, serta berkongsi maklumat antara penggiat seni bersama-sama dengan pakar teknologi AI yang dijemput khas.
Turut menghadiri wacana dan menyampaikan ucapan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Encik Mohd. Amran Mohd. Haris.
Dalam ucapan beliau, Mohd. Amran menyatakan harapan JKKN agar karya-karya tradisi dapat dimodenkan menerusi kerjasama antara pakar AI dengan penggiat seni sedia ada.
“Ini adalah kerana teknologi AI dapat memberi ruang yang lebih terbuka kepada penggiat seni untuk melebarkan sasaran khalayak dalam industri seni kreatif pada peringkat antarabangsa melalui pelantar digital,” jelas Mohd. Amran.
Penggiat seni juga, tambah beliau, dapat menghasilkan karya dengan peruntukan minimum menerusi teknologi AI tanpa perlu bergantung pada bantuan kewangan yang besar.
“Program ini juga mampu merapatkan jurang perbezaan antara penggiat seni, terutamanya dari kalangan generasi terdahulu dengan ahli-ahli teknologi dalam bidang AI, ke arah mencari titik persamaan untuk perpindahan karya ke bentuk digital,” kata Mohd. Amran lagi.