6 Ogos 2023, 20:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Las Vegas – Masakan kurma Perlis menjadi menu istimewa yang akan disajikan di Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2023 hingga Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2023 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan sentiasa bersama-sama menghayati semangat cinta akan negara bagi menyambut Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” tidak lama lagi, tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada dan pada masa yang sama sentiasa mengekalkan prinsip jiwa patriotik.

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis bertitah demikian selepas berkenan melancarkan secara simbolik Promosi Makanan Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Poster Promosi Makanan Perlis di Restoran Belacan Grill, Malaysia Bistro, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Promosi Makanan Perlis merupakan inisiatif secara kolaborasi oleh restoran yang popular dalam kalangan warganegara Malaysia di sini bersama-sama YTSP Perlis, Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Tourism Malaysia Los Angeles, MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd.

Berangkat sama ialah anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan; Konsul, Azman Roslee Anuar; Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia; serta Pengerusi Eksekutif MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd., Dato Nellsen Young.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Kean P. Tan dan isteri, Bee Tan, yang merupakan pengasas dan pemilik Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro berkenaan.

Menurut Kean, menu yang dipilih pada kali ini, iaitu Kurma Daging Perlis merupakan satu tarikan bagi pengunjung tempatan di Los Angeles untuk merasa masakan Perlis, mengambil tempat bersempena dengan promosi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025, dan juga menambat cita rasa rakyat Malaysia yang bermastautin di sini untuk menghayati semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui juadah enak tersebut, di samping mengimbau tanah air tersayang dengan penuh patriotisme walau bermastautin di tempat yang jauh.”

Menu Kurma Daging Perlis yang menjadi tarikan pengunjung tempatan di Los Angeles.

Untuk rekod, Chef Kean P. Tan yang berusia 64 tahun, dan isteri beliau, Bee Tan, merupakan rakyat Malaysia.

Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro dengan slogan “The Art of Blending Exotic Spices” yang beralamat di 17460 17th Street, Tustin, California 92780 itu telah diusahakan sejak tahun 2004 lagi bersama-sama tiga orang anak mereka, Kimberly Sze Tan, Leroy Tan dan Natalie Tan, dan telah mempunyai sijil pengesahan makanan halal.

Kean memaklumkan bahawa beliau terpanggil untuk menjayakan kempen ini kerana teruja dengan limpah perkenan baginda berdua berangkat untuk menikmati santapan di restoran beliau.

Menyentuh tentang Tahun Melawat Perlis yang akan bermula pada tahun hadapan, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa Banjaran Nakawan di Perlis yang berusia lebih daripada 450 juta tahun sedang dalam usaha untuk disenaraikan dalam penarafan sebagai Geopark Kebangsaan.

Foto: Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.