19 Ogos 2023, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Festival “Anok (Anak) Seni Kelantan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kelantan dan Persatuan Seni Pusaka Sri Gunung berjaya menghimpunkan para pemain industri seni budaya menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti seni dan budaya negeri Kelantan.

Program yang berlangsung di Kompleks JKKN Kelantan bermula semalam itu berkeupayaan menyemarakkan kegiatan seni budaya tempatan di samping mempromosikan dan memperkenalkan keunikan seni budaya negeri Kelantan kepada masyarakat.

“Penganjuran program tersebut bertujuan menjadikan Kompleks JKKN Kelantan sebagai pusat kegiatan seni budaya di Kelantan dengan menampilkan teater, seni tari, muzik, permainan tradisional, kraf tangan dan seni visual agar dapat dilaksanakan sekerap mungkin dan seterusnya menghidupkan ekosistem industri kreatif negeri Kelantan,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Dasar dan Perancangan) JKKN selaku perasmi program, Encik Mohd Amran Mohd Haris.

Sekitar majlis perasmian Festival “Anok” Seni Kelantan.

Menurut beliau, program seumpama ini diharapkan mampu menjadi pusat untuk menghimpunkan penggiat seni budaya di Kelantan, pencetus dan penerus kreativiti dalam persembahan dan pengkaryaan selain berkongsi dan saling bertukar kepakaran bagi mencapai matlamat mengangkat serta memartabatkan seni budaya warisan negeri Kelantan.

Antara pengisian program yang berlangsung selama dua hari itu termasuklah bengkel patung wayang kulit, bengkel sobek wau, persembahan dikir barat dan wayang kulit, rebana ubi, rebana kercing, kertuk, seni silat, gasing pangkah, bazar seni kreatif, bakat karaoke merdeka, sukan rakyat, permainan tradisional dan jualan makanan tradisi.

Sementara itu, penggiat seni dan anak seni Kelantan juga berpeluang membuat persembahan dalam festival tersebut seperti Tuan Kob Raja Saring, Arman DBA, Ramlie Raja Laut, Den Manjo, Megat Haikal, Aleef Hanafi, Hazwan Rahman, Adik Gie Sina Kencana, Joe Ranjuna, Faizal Cenderawasih Fadil Turbo, Ajea Geting, Emie Sukmasari, Adik Auni, Adik Ryan Rizqy serta artis budaya JKKN Kelantan.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan Festival “Anok” Seni Kelantan.

“Program yang dianjurkan ini diharapkan dapat memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan seni budaya negeri Kelantan sekali gus meningkatkan fungsi dan kepentingan JKKN Kelantan kepada masyarakat,” ujar Timbalan Pengarah JKKN, Puan Norliza Mamat Ghani.

Tambah beliau, program yang mampu melestarikan seni dan budaya negeri Kelantan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi awam dengan swasta, malah menggalakkan masyarakat menghargai, menghormati dan menanamkan rasa semangat dan cinta akan seni budaya tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.